Identiti mayat wanita dalam beg belum dapat disahkan

Identiti mayat wanita dalam beg belum dapat disahkan

SUSPEK utama kes penemuan mayat seorang wanita yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Rembau dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban kelmarin bagi permohonan reman. –UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis masih belum dapat mengesahkan identiti mayat wanita yang ditemukan dalam sebuah beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Pedas-Linggi di Rembau, Negeri Sembilan pada 18 Disember lalu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pengesahan identiti hanya boleh dibuat melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan keputusan mengenainya belum dapat dipastikan lagi.

“Keadaan mayat yang sudah mereput menghalang proses pengecaman secara langsung dan menyebabkan kaedah DNA menjadi satu-satunya pendekatan bagi pengesahan identiti.

“Keluarga sudah memberikan sampel dan proses itu kini di peringkat pihak hospital atau Jabatan Kimia. Tempoh berapa lama (keputusan ujian DNA) itu kami tidak dapat pastikan dan kini menunggu keputusan daripada pihak hospital,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada identiti mayat wanita berkenaan adalah usahawan, Suri Narudin. 53, yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Muhammad Idzam berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan menyeluruh dalam kes berkenaan termasuk terhadap dua individu yang te­lah ditahan termasuk hubungan mang­sa dengan suspek utama.

“Hubungan mangsa dengan suspek setakat ini kami belum dapat keterangan lagi. Kami tidak dapat mengesahkan sama ada mereka adalah suami isteri sebab tiada sijil atau dokumen yang menyokong hubungan itu. Jadi masih dalam siasatan.

“Siasatan akan dijalankan daripada pelbagai sudut bagi memastikan individu yang terlibat dapat didakwa sekali gus mangsa memperoleh keadilan. Sama ada terdapat individu lain akan ditahan bergantung kepada siasatan sedang dilakukan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×