Menang lembu RM7,000, rezeki duit kahwin

Menang lembu RM7,000, rezeki duit kahwin

SAMUEL Al-Amin menerima hadiah seekor lembu jantan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penyertaan seorang pemuda dalam Larian Budaya Antarabangsa Duyong 2025 ber­baloi apabila dia membawa pulang hadiah utama cabutan bertuah berupa seekor lembu jantan bernilai RM7,000.

Ia sekali gus menjadi detik paling mencuri tumpuan pada acara yang berlangsung di Stadium Tun Fatimah, Bukit Se­rindit di sini, semalam.

Samuel Al Amin Hussien, 24, dari Kampung Duyong berkata, dia bercadang untuk menjual lembu itu bagi dijadikan belanja perkahwinan pada tahun depan.

“Saya memang tidak sangka langsung akan memenangi hadiah cabutan bertuah se­ekor lembu. Pada mulanya saya sertai larian ini sekadar untuk memeriahkan acara bersama enam lagi adik beradik lain.

“Insya-Allah, saya bercadang untuk menjual lembu ini bagi dijadikan simpanan duit kahwin saya pada tahun depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Acara Larian Budaya Antarabangsa Duyong 2025 diras­mikan oleh Pengerusi Ja­wa­tankuasa Pelancongan, Wa­­risan, Seni dan Budaya Me­laka, Datuk Ab­dul Razak Abdul Rahman.

Selain hadiah utama se­ekor lembu, cabutan bertuah turut menawarkan pakej umrah bernilai RM5,000, empat buah motosikal, dua buah basikal bernilai keseluruhan RM5,000, pelbagai barangan elektrik serta 30 ekor ayam.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, penganjuran tahun ini mencatatkan peningkatan penyertaan yang amat memberangsangkan berbanding edisi sebelumnya.

“Tahun lalu penyertaan se­kitar 10,000 orang namun tahun ini kita mencatatkan lebih 20,000 peserta termasuk 2,000 peserta antarabangsa, sekali gus wajar diangkat sebagai program rasmi kerajaan negeri serta berpotensi menjadi produk pelancongan tahunan Melaka.

“Sebelum ini peruntukan sebanyak RM150,000 namun dengan sambutan yang semakin besar, saya mencadang­kan peruntukan dinaikkan kepada RM300,000 bagi pe­nganjuran tahun depan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×