KEDATANGAN musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa taburan hujan lebat berterusan dalam beberapa episod lazimnya melanda negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah menjelang hujung tahun.
Ia biasa berlaku pada November sehingga Mac setiap musim. Apabila tiba musim ini, boleh dikatakan secara automatik aktiviti dikurangkan, namun Terengganu ‘dok rilek’ (tidak rehat) dengan giat mengadakan program-program pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke negeri pantai timur itu.
Terdapat pelbagai acara menarik disusun sepanjang musim tengkujuh dengan menjadikan cuaca hujan lebat dan ‘keadaan basah’ sebagai kelainan dalam penganjuran program-program pelancongan.
Antaranya, Program Monsoon Brisk Walk 2025 yang menarik penyertaan lebih 2,000 peserta yang berjalan santai di tepi pantai di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 13 Disember lalu.
Penganjuran International Monsoon Casting Tournament 2025 di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pula menyaksikan hampir 300 peserta tempatan dan pemancing profesional memburu pelbagai spesies ikan di tasik buatan manusia itu. Ia turut menarik lebih 40 peserta antarabangsa seperti dari Indonesia, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Australia dan Jepun.
Di Kemaman pula, Pantai Teluk Kalong menjadi destinasi pilihan penggemar sukan luncur ombak apabila musim MTL bermula dan mempunyai ombak yang konsisten sepanjang tempoh Oktober hingga Mac.
Musim tengkujuh di Terengganu turut dimeriahkan dengan kejohanan International Golden Monsoon Ride and Run (IGMRR) 2025 yang menerima penyertaan seramai 4,200 peserta.
Kejohanan tiga hari berakhir kelmarin yang diadakan secara karnival itu juga menerima 70 peserta dari Singapura dan Thailand. Ia menampilkan pelbagai kategori perlumbaan yang menarik ramai penggemar sukan larian dan berbasikal.
Mereka ‘berkampung’ di tengah bandar raya Kuala Terengganu. Kejohanan ini disenaraikan sebagai acara utama dalam kalendar pelancongan Terengganu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Dengan sambutan diberikan kepada aktiviti-aktiviti pelancongan di musim tengkujuh, maka tidak hairanlah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu menyenaraikan pelbagai acara sampingan dalam kalendar pelancongannya sepanjang November dan Disember tahun depan.
Misalnya, Festival Sukan Air Terengganu di Taman Tamadun Islam dan Terengganu Surf Festival di Pantai Batu Burok serta Pesta Maing Hujang di Perkampungan Pelancongan Sesohor Setiu.
Menerusi aktiviti-aktiviti pelancongan sepanjang tahun bukan sesuatu yang sukar bagi Terengganu melepasi sasaran sembilan juta pelawat tahun depan sekali gus kekal menjadi antara destinasi pilihan pengunjung.-UTUSAN.










