PETALING JAYA: Segala masalah melibatkan parti komponen Barisan Nasional (BN) mesti dibincangkan secara dalaman iaitu melalui Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, MCA tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka berkaitan kelemahan atau masalah yang dihadapi kerana perkara tersebut boleh diselesaikan melalui saluran dalaman.
“Sebaik-baiknya kita rapatkan saf dan menggunakan saluran yang betul. Contohnya, seorang anak jika mempunyai masalah, boleh mengadu kepada kedua-dua ibu bapanya. Begitu juga masalah adik-beradik atau suami isteri, tidak wajar dicanang kepada pihak luar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmad Jazlan mengulas wawancara Mingguan Malaysia bersama Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang menegaskan parti itu tidak boleh terus terikat dengan keputusan UMNO, khususnya jika UMNO kekal bekerjasama dengan DAP.
Sin Woon berkata, Kerajaan Perpaduan ketika ini lebih mencerminkan pakatan antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) manakala peranan BN dilihat semakin terhakis.
Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, para pemimpin BN perlu sentiasa berwaspada agar tidak memberi ruang dan peluang kepada musuh-musuh politik.
“Jangan sampai kenyataan kita dijadikan senjata oleh musuh politik, yang pasti akan mengambil kesempatan ibarat menangguk di air keruh,” katanya.
Katanya, MCA seharusnya bersikap terbuka dan yakin dengan peluang yang bakal diberikan khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Siapa tahu, melalui kebersamaan dalam Kerajaan Madani, MCA mungkin akan diberikan peluang yang lebih baik pada masa hadapan, termasuk pada PRU16, kerana politik bukan bersifat rigid (kaku) dan statik,” katanya. – UTUSAN










