Boleh perbaharui lesen memandu maksima 10 tahun

Boleh perbaharui lesen memandu maksima 10 tahun

ANTHONY Loke dalam sidang akhbar di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini mengumumkan inisiatif baharu membabitkan pembaharuan lesen memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh maksima sehingga 10 tahun berbanding lima tahun dengan kadar fi pembaharuan istimewa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, mana-mana pemegang LMM yang memperbaharuinya untuk tempoh 10 tahun hanya akan dikenakan bayaran RM270 berbanding fi kadar semasa iaitu RM30 bagi tempoh setahun.

“Bagi orang ramai yang berminat, mereka hendaklah memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa adalah tidak melebihi satu tahun.

“Orang ramai juga akan dibenarkan memperbaharui LMM antara satu sehingga 10 tahun mengikut pilihan masing-masing, tertakluk kepada had maksima 10 tahun.

“Namun, hanya pembaharuan 10 tahun sekaligus sahaja akan menikmati keistimewaan fi percuma untuk tahun kesepuluh,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif berkenaan hanya untuk warganegara Malaysia dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas, permit jangka masa panjang, Kad MyKAS yang mana terikat dengan tempoh sah laku pasport individu terbabit.

Katanya, mana-mana pemegang LMM di mana maklumat identiti individu adalah berdasarkan kepada dokumen pasport dan Kad MyKAS adalah masih terikat kepada peraturan sedia ada.

Selain itu, Loke turut mengumumkan mengenai inisiatif pembaharuan LMM yang tamat tempoh sah laku dengan memberi kebenaran khas kepada mana-mana pemegang LMM untuk memperbaharuinya tanpa perlu menjalani semula ujian.

“Bagaimanapun, kebenaran khas ini hanya terhad kepada LMM yang mana tempoh sah laku tamat mulai 1 Januari 2018 dan berkuat kuasa sehingga 31 Disember depan, manakala peraturan sedia ada akan berkuat kuasa semula pada 1 Januari 2024.

“Inisiatif ini adalah mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang pandemik Covid-19 serta kekangan dihadapi rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM masing-masing kerana tidak berpeluang untuk pulang ke tanah air,” ujarnya.

Di bawah dasar semasa, Loke berkata, LMM yang tamat tempoh lebih tiga tahun perlu mengambil semula ujian.

Tambahnya, kedua-dua inisiatif dan kebenaran khas tersebut hanya boleh dinikmati oleh pemegang LMM yang bebas daripada sebarang sekatan urus niaga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tidak disenarai hitam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bebas daripada sebarang penggantungan akibat suatu hukuman atau perintah mahkamah.

“Bagi kedua-dua inisiatif dan kebenaran yang diumumkan, orang ramai boleh mula menikmati kemudahan tersebut mulai Isnin depan dengan
berurusan di pejabat atau kaunter JPJ sahaja.

“Pelaksanaan urus niaga terlibat melalui platform disediakan oleh rakan niaga JPJ seperti Pos Malaysia akan tertakluk kepada kesediaan perubahan sistem oleh pihak berkenaan,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya