KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mencabar perintah pembekuan parti itu dan larangan perjalanan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid memutuskan demikian selepas mendapati permohonan itu bukanlah sesuatu yang remeh atau menyusahkan.
“Terdapat beberapa isu berkaitan pembekuan akaun dan larangan perjalanan yang perlu diputuskan melalui perbicaraan,” katanya.
Pada 8 Mac lalu, pegawai awam parti, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Muhyiddin bagi pihak parti memfailkan semakan kehakiman itu dengan menyatakan tindakan membekukan akaun CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank milik parti itu dilakukan dengan niat jahat.
Bersatu mendakwa tindakan itu adalah penyalahgunaan kuasa dan proses undang-undang dalam merencanakan siasatan serta pemangsaan politik terpilih terhadap kepimpinan Bersatu, Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.
Pemohon mendakwa, Muhyiddin turut dikenakan larangan perjalanan oleh responden keempat untuk mencemar nama baik dan seolah-olah beliau melakukan kesalahan dan akan melarikan diri.
Sehubungan itu, pemohon memohon perisytiharan bahawa SPRM tidak boleh mengikut arahan pemimpin parti pemerintah yang berada dalam kerajaan atau mengikut arahan perdana menteri dan/atau timbalan perdana menteri yang meminta pegawainya memulakan siasatan terhadap Bersatu, menyebabkan keluarnya perintah pembekuan yang didakwa salah. – UTUSAN










