Bekalan gula di Kelantan sudah 98 % pulih - Utusan Malaysia

Bekalan gula di Kelantan sudah 98 % pulih

ANGGOTA KPDN Kelantan menghantar bekalan gula ke sebuah kedai runcit bagi memastikan bahan mentah itu mencukupi di salah sebuah premis di Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/IHSAN KPDN KELANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekalan gula di negeri ini yang terputus sejak seminggu lalu sudah 98 peratus pulih selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Kelantan mengedarkan bahan mentah itu kepada 280 premis bagi memastikan ia kembali berada di pasaran.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, 263 melibatkan pemborong dan selebihnya melibatkan peruncit dan pasar raya.

Menurutnya, hasil pe­meriksaan dijalankan menerusi Op Manis, bekalan tersebut sudah berada di pasaran.

“Kita (KPDN Kelantan) mendapati tiada aktiviti pembelian panik dilakukan pengguna sepanjang pemeriksaan dijalankan.

“Setakat ini hanya satu kes melibatkan gula di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, peniaga mendakwa bekalan gula masih sukar diperoleh walaupun pihak KPDN Kelantan sudah mengagihkan 250,000 bekalan bahan mentah itu ke seluruh negeri ini bagi mengatasi masalah tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia di Tumpat dan Pasir Mas mendapati, rata-rata peniaga mengeluh apabila sukar mendapatkan bekalan bahan mentah itu sekali gus mengganggu urusan niaga mereka.

Dalam perkembangan lain, Azman membe­ritahu, sehingga kelmarin KPDN Kelantan menerima 17 aduan berkait masalah kekurangan gula.

Katanya, laporan ketiadaan bekalan merekodkan jumlah tertinggi iaitu sembilan kes, enggan menjual (dua kes), menyorok bekalan dan menjual gula pada harga mahal (tiga kes).

“Kesemua aduan ini sedang disiasat dan KPDN Kelantan mengambil serius perkara tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN