Az Zahra, Purnama erat jalinan ukhuwah - Utusan Malaysia

Az Zahra, Purnama erat jalinan ukhuwah

NAJWA Othman (depan, empat dari kiri) bergambar bersama wakil dan ahli Purnama selepas berkunjung ke Pusat Kecemerlangan Harumanis Bukit Bintang, Kangar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Badan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional Perlis (Az Zahra) dan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Kelantan (Purnama) menjalinkan hubungan erat bagi mengukuhkan ukhuwah antara satu sama lain khususnya dalam memantapkan lagi pergerakan dua pertubuhan berkenaan.

Bagi tujuan itu, satu lawatan telah dilakukan oleh Purnama ke negeri Perlis dalam usaha untuk bertukar-tukar pandangan di samping menyelami dengan lebih dekat budaya penduduk di sini.

Timbalan Yang Dipertua Purnama, Datin Hasmani Husain berkata, lawatan selama tiga hari itu juga adalah sebagai kunjungan hormat ke atas pentadbiran baharu kerajaan negeri ini yang dipimpin oleh Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Pertamanya Purnama hadir ke sini adalah bagi bertemu Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli untuk menzahirkan ucapan tahniah atas pentadbiran baharu di negeri ini.

“Di samping itu, kita juga cuba menjalinkan hubungan erat bersama Az Zahra yang baharu sahaja ditubuhkan bagi bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kecemerlangan Harumanis Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Turut sama dalam sesi lawatan itu adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad.

Rombongan tersebut turut dijamu dengan buah ikonik negeri ini iaitu harumanis bersama pulut.

Hasmani yang juga merupakan isteri kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, wakil Purnama juga berkesempatan melawat beberapa lokasi pelancongan sekitar Perlis menerusi kunjungan berkenaan di samping berpeluang merasai makanan-makanan menarik terdapat di negeri ini khususnya harumanis.

“Budaya masyarakat di Kelantan dan Perlis adalah hampir sama malah kami juga sempat merasai pelbagai makanan menarik di sini antaranya seperti pek nga, pulut mempelam harumanis dan pelbagai lagi,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Az Zahra, Najwa Othman berkata, menerusi kunjungan berkenaan, pertubuhan itu berpeluang mendapatkan tunjuk ajar dan panduan daripada Purnama berhubung beberapa perkara khususnya dalam mencari suntikan dana untuk melaksanakan program-program kebajikan.

Ujarnya, Az Zahra juga masih menjalankan perbincangan lanjut bagi meneroka kerjasama lain yang boleh dilakukan antara dua pertubuhan itu khususnya dalam mengukuhkan lagi hubungan antara satu sama lain.

“Purnama telah wujud sejak lebih 30 tahun lalu dan kita merasakan terdapat banyak ilmu dan tunjuk ajar yang boleh mereka kongsikan bersama kami.

“Kita juga dalam perancangan untuk melakukan kunjungan semula ke Kelantan selepas ini bersama ahli-ahli kami yang lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya