PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan 2,100 ladang ayam kontrak seluruh negara di ambang muflis susulan kelemahan polisi kerajaan mengawal sektor penting makanan negara itu.
Ini merangkumi kira-kira 1,000 ladang ternakan ayam kontrak yang hampir semuanya diusahakan penternak bumiputera yang terlibat membekalkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan 2.2 juta ekor ayam setiap hari bagi memenuhi keperluan dalam negara, iaitu sebanyak 660,000 ekor ternakan itu.
Sumber industri ternakan ayam wilayah tengah Semenanjung memberitahu Utusan Malaysia, ancaman muflis dalam kalangan penternak ayam kontrak berpunca akibat lima faktor.
Faktor-faktor itu adalah cadangan mengapungkan harga ayam dan telur bermula Julai, langkah Bank Negara (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), tiada lembaga unggas, cadangan menaikkan tarif elektrik kepada syarikat multinasional serta pengenalan upah gaji minimum RM1,500.
Sumber berkata, langkah mengapungkan harga ayam dan telur, jika benar-benar berlaku, akan semakin ‘membunuh’ penternak kontrak malah pengguna kerana ia tidak akan menurunkan harga dedak dan anak ayam yang merangkumi hampir 80 peratus daripada keseluruhan kos operasi di ladang ayam.
Sebaliknya, jika pengapungan harga ayam dan telur dibuat, sumber berkata itu akan semakin menguntungkan kartel induk ayam (GPS), kartel anak ayam serta kartel dedak yang mengimport bahan mentah bagi menghasilkan dedak seperti jagung bijirin dan soya.
“Sekarang ini, penternak ayam kontrak sedang bergelut dengan kenaikan kos operasi. Harga anak ayam RM3.60 seekor, harga dedak mencecah RM140 satu beg 50 kilogram. Kos buruh meningkat, sebab pengenalan upah minimum RM1,500 sampaikan pekerja asing sudah pandai minta gaji minimum RM1,500.
“Kemudian, apabila kerajaan mahu menaikkan tarif elektrik syarikat besar, sudah tentu kartel ayam serta penternak bersepadu atau integrator akan mengenakan kos tambahan kepada penternak kontrak. Bukan mereka yang tanggung kenaikan kos itu, tapi mereka timpakan kenaikan kepada penternak kontrak macam kami yang menerima anak ayam serta dedak daripada kartel,” kata sumber.
Untuk rekod, Februari lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga ayam dan telur dijangka diapungkan selepas Jun ini dalam usaha kerajaan memastikan masalah kekurangan bekalan makanan itu dapat diatasi
Mohamad berkata, harga ayam dan telur diapungkan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat menilai serta mengawal harga barangan itu sama ada naik atau turun berbanding harga siling runcit semasa.
OPR NAIK, PENTERNAK ‘TERBUNUH’
Dalam pada itu, sumber turut mendesak kerajaan mengkaji semula langkah mengejut BNM menaikkan OPR baru-baru kerana ‘membunuh’ ladang-ladang kontrak yang membuat pinjaman bank untuk mendirikan ladang ayam serta ladang telur.
“Untuk set up broiler dua tingkat dengan kapasiti 50,000 ekor ayam satu pusingan, modalnya kira-kira RM5 juta. Sudah ramai yang mengambil pinjaman itu sekarang ini sedang bergelut akibat kenaikan OPR mengakibatkan peningkatan bayaran bulanan kepada bank.
“Sudahlah sekarang bekalan anak ayam sangat kurang. Tahun lepas, kita boleh mengeluarkan ayam enam kali pusingan setahun. Sekarang ini, empat ke lima pusingan pengeluaran saja, itupun susah mahu jumpa ladang kontak yang boleh mencecah lima pusingan pengeluaran setahun sebab anak ayam kurang sangat,” katanya.
Sementara itu, satu sumber penternak ayam wilayah selatan yang dihubungi mendedahkan bahawa desakan demi desakan agar kerajaan mengapungkan harga ayam dan telur sebenarnya bukan datang daripada kalangan penternak sebaliknya merupakan tuntutan pihak kartel.
Kata sumber, hal ini kerana kartel terlalu berkuasa mengawal industri sehingga kerajaan didakwa takut dan tunduk kepada kata dua diberikan kartel, iaitu sama ada mengapungkan harga ayam dan telur atau meneruskan pemberian subsidi sektor itu.
“Sejak bila pula penternak kontrak ada masa untuk ambil tahu soal harga ayam dan telur di pasaran? Kami cuma menerima bekalan anak ayam daripada kartel dan membelanya sampai matang iaitu 30 hingga 35 hari.
“Selepas ayam matang, kartel yang akan datang ke ladang dengan lori masing-masing untuk mengutip ayam-ayam itu. Harga jualan di ladang itu disebut ex-farm. Hari ini, harga ex-farm sekilogram adalah RM6.50 sehingga RM7, jadi seekor ayam yang beratnya dua kilogram maka kartel akan bayar kira-kira RM14.
“Sekarang cuba kira, di pasaran harga ayam yang beratnya kira-kira dua kilogram lebih kurang RM20, sebab harga siling RM9.40. Maksudnya, kartel untung RM6 bagi setiap ekor ayam sedangkan penternak tetap di takuk yang sama. Sudahlah tiada lembaga khas kawal industri, akibatnya seluruh rantaian industri caca merba tiada kementerian khusus yang mengawal secara bersepadu di bawah satu punca kuasa,” kata sumber.
GAMBARAN ASAS SEKTOR AYAM
Untuk rekod, berdasarkan maklumat industri serta agensi, Malaysia mempunyai 2,604 ladang ayam seluruh negara. Daripada jumlah itu, 80 peratus atau 2,083 adalah ladang kontrak iaitu ladang yang dibangunkan secara kontrak di antara penternak dengan penternak bersepadu atau integrator. Ada 520 penternak bersepadu atau ‘tauke’ penternak kontrak seluruh negara.
Daripada 2,604 ladang, cuma lima syarikat gergasi yang terlibat mengimport baka induk tuai atau GPS, iaitu ayam baka dari Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.
Baka GPS ini pula diagihkan kepada 22 gergasi industri yang terlibat menghasilkan anak ayam DOC bagi diagihkan kepada 520 penternak bersepadu (integrator) seluruh negara yang kemudian menjual pula kepada penternak kontrak di bawah mereka.
Difahamkan, sejumlah 80 peratus daripada keseluruhan 2,604 ladang ayam seluruh negara adalah ladang kontrak diusakan penternak bumiputera, iaitu sebanyak 2,083 ladang kini menunggu masa untuk gulung tikar akibat tidak mampu menanggung masalah pengeluaran.
Sementara bagi aspek pengeluaran ayam, kartel yang berselindung sebalik persatuan penternakan didakwa menguasai 70 hingga 80 peratus keseluruhan daripada semua 2.2 juta ekor ayam di pasaran setiap hari iaitu kira-kira 1.5 juta ekor. –UTUSAN










