16 kesalahan risiko kebakaran dikesan JBPM Terengganu - Utusan Malaysia

16 kesalahan risiko kebakaran dikesan JBPM Terengganu

HASAN 'As'ari Omar (kiri) melawat gerai pameran ketika Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Petai Bubus, Manir, Kuala Terengganu. hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 16 kesalahan risiko kebakaran dikesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu membabitkan empat premis perniagaan sepanjang tahun ini.

Pengarah JBPM negeri, Hassan ‘As’ari Omar, berkata, kesemua kesalahan itu telah didakwa di mahkamah dengan jumlah denda keseluruhan RM17,800 kepada pemilik premis berkenaan.

Menurut beliau, antara kesalahan ditemui di premis adalah tiada tangga terlindung, tiada sistem penggera kebakaran, tiada pengesan api automatik dan tiada pintu rintangan api.

“Daripada empat premis itu, tiga adalah kedai perabot yang turut melakukan kesalahan penggunaan kayu sebagai lantai di tingkat bawah manakala satu lagi premis adalah hotel bajet.

“Kesalahan ini jelas melanggar Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Bomba (APB) 1988 dan JBPM Terengganu telah membawa 16 kertas pertuduhan untuk didakwa serta didenda di mahkamah, baru-baru ini.

“Saya sarankan pemilik premis agar mengambil berat isu keselamatan dan risiko kebakaran bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini termasuk kehilangan harta benda dan nyawa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Peringkat Negeri bersama lebih 300 penduduk di Kampung Petai Bubus, Manir di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hassan ‘As’ari menjelaskan, sebanyak 11 lagi kompaun dikeluarkan JBPM Terengganu atas pelbagai kesalahan berkaitan pili bomba di seluruh negeri.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, empat kes kompaun telah selesai dibayar, satu kes gagal bayar dan akan dibawa ke mahkamah manakala sembilan kes lagi kompaun belum tamat tempoh.

“Saya merayu orang ramai supaya tidak sesekali menggunakan air pili bomba selain untuk kegunaan memadam api kebakaran dan sentiasa memastikan pili dalam keadaan baik.

“Kompaun dikenakan ialah atas kesalahan menghalang, menyembunyikan serta menutup pili bomba sekaligus melanggar Seksyen 26 APB 1988,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.