RANTAU PANJANG: Kemarau yang melanda negeri ini menyebabkan Sungai Golok ‘pemisah’ antara sempadan Malaysia-Thailand di sini menjadi kering dan cetek.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa kawasan sepanjang Sungai Golok antaranya di Kampung Lubuk Gong, di Chabang tiga Kampung Bagus dan di Kampung Lubok Stol dasar sungainya timbul.
Penduduk di Kampung Bagus, Jifri Yusof, 53, berkata, air sungai Golok cetek itu berlaku setiap tahun antara bulan Mac hingga Jun.
Katanya, kemarau tahun ini berlaku awal apabila Kelantan dilanda cuaca panas yang teruk dan tiada taburan hujan menyebabkan air sungai Golok surut mendadak.
“Biasanya air sungai Golok ini dalamnya melebihi dua meter tetapi sejak kemarau beting pasir mulai timbul.
“Air sungai Golok surut sehingga paras 0.5 meter dan boleh berjalan kaki untuk menyeberangi sungai Golok ini,” katanya ditemui di Sungai Golok dekat Kampung Bagus di sini hari ini.
Penduduk yang mahu di kenali Abdullah, 60, berkata, setiap kali berlakunya air Sungai Golok cetek, kawasan itu bagaikan pesta apabila ada yang mandi-manda dan mencari etak.
“Lebih meriah apabila ada penduduk di sebelah Thailand berniaga minuman dan makanan kerana ramai pengunjung yang datang untuk melihat air sungai Golok yang cetek selepas tular di media sosial.
“Waktu petang meriah dengan orang ramai yang datang mandi dan bergambar.
“Ini rutin tahunan di sini, suasana ini saban tahun berlaku sejak tahun 2014 lagi, sangat meriah dengan gelagat orang ramai,” katanya.
Bagi Mat Bastaman Hamat,61, air sungai Golok yang cetek itu menyebabkan sempadan antara Malaysia-Thailand tiada.
“Lebar sungai ini hanya 150 meter dan apabila dasar sungai timbul akibat kemarau ini, tidak dapat membezakan mana sempadan,” katanya.- -utusan










