2 pengarah direman bantu siasatan kes rasuah Penjana lebih RM400,000 - Utusan Malaysia

2 pengarah direman bantu siasatan kes rasuah Penjana lebih RM400,000

DUA pengarah syarikat direman selama tiga hari di Mahkamah Majistret, George Town, Pulau Pinang hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya membabitkan nilai lebih RM400,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seramai dua pengarah syarikat direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya membabitkan nilai lebih RM400,000.

Perintah tahanan reman terhadap suspek masing-masing berusia 35 dan 62 tahun itu dikeluarkan Majistret, Mohamad Azlan Basri selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret di sini, kira-kira pukul 10 pagi ini.

Menurut sumber SPRM, suspek didakwa mengemukakan tuntutan kononnya mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagaimanapun ia tidak dilaksanakan meskipun tuntutan kepada kerajaan telah dibuat.

Kedua-dua suspek yang merupakan pengarah syarikat berkaitan import tekstil dan syarikat barangan lusuh itu diwakili peguam daripada firma guaman, Partibhan & Co. dan Anba & Associates.

Kedua-dua suspek ditahan menerusi Ops Hire 2.0 iaitu operasi bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan hasil tuntutan palsu yang dibuat oleh pengarah-pengarah syarikat menerusi program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (Penjana).

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 47 individu lagi ditahan SPRM berhubung kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya di seluruh negara melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM63 juta.

Satu sumber mendedahkan, kesemua suspek terdiri daripada 33 lelaki dan 14 wanita ditahan menerusi Op Hire yang dijalankan serentak di seluruh negara sejak semalam.

Kata sumber itu, kesemua tangkapan terdiri daripada pemilik syarikat, pengarah dan pengurus syarikat membabitkan 51 syarikat yang dikenal pasti SPRM melakukan tuntutan dengan nilai keseluruhan RM63 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya