PETALING JAYA: Kebakaran sebuah gudang simpanan bahan kimia di Taman Teknologi Malaysia, dekat sini hari ini mengakibatkan dua lelaki melecur 50 peratus di anggota badan.
Kebakaran itu dimaklumkan kepada pasukan bomba kira-kira pukul 4.45 petang ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, seramai 14 anggota, sepasukan anggota Hazmat dan sebuah jentera Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Jalil ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat kebakaran melibatkan tempat penyimpanan bahan kimia dan operasi pemadaman dilakukan menggunakan teknik attacking dan defensive bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
“Kebakaran tersebut turut melibatkan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20 tahun dan 25 tahun melecur pada tubuh sebanyak 50 peratus,” katanya.
Jelas kenyataan itu, kedua-dua mangsa diberi rawatan awal dan dibawa ke hospital.
Menurut kenyataan itu, keluasan kebakaran sebesar 800 kaki persegi itu turut melibatkan kemusnahan kebakaran sebanyak 70 peratus.
“Kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.17 petang. Punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Setakat ini keadaan bahan kimia sudah dineutralkan pihak bomba, keadaan juga terkawal,” ujarnya. – UTUSAN