KOTA TINGGI: Seorang pengusaha cendawan di Felda Semenchu di sini terpaksa membuang 130 kilogram (kg) cendawan yang tidak menjadi ekoran faktor cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Azhar Ramli, 36 berkata, cuaca panas yang direkodkan di rumah cendawannya mencecah sehingga 44 darjah celcius menyebabkan cendawan rosak.
Katanya sejak mengusahakan tanaman itu pada tahun 2020, tahun ini adalah paling sukar ekoran kerugian yang terlalu banyak akibat cendawan dibuang.
“Saya ada kira-kira 6,000 bongkah yang sepatutnya sedang mengeluarkan hasil untuk bulan ini jika mengikut perkiraan, namun 70 peratus dari jumlah tersebut terpaksa dibuang kerana cendawan rosak akibat cuaca yang terlalu panas.
“Tahun sebelum ini juga memang ada musim panas dan ada juga yang rosak tetapi tidak banyak hanya sekilogram atau dua kilogram. Sebaliknya tahun ini amat mencabar kerana terlalu banyak rosak sehingga 130 kg untuk tempoh sebulan ini.
“Harga bagi sekilogram dijual RM16 jadi kerugian yang saya tanggung lebih RM2,000 juga,” katanya ketika ditemui di rumah cendawannya di Felda Semenchu di sini.- utusan










