PETALING JAYA: Karnival Aidilfitri, Hoorrey X Fest Raya tidak akan berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) sebagaimana yang dijadualkan pada esok hingga 21 April ini.
Perkara itu disahkan Pengurus Hal Ehwal Awam WTCKL, Hadi Wahab dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, WTCKL merupakan penyedia lokasi sahaja dan tidak terlibat dalam pengurusan acara yang dikendalikan oleh penganjur, Tenview (M) Sdn. Bhd.
“Oleh itu, kita tidak bertanggungjawab atas sebarang bentuk kerugian sama ada secara langsung atau sebaliknya.
“Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut, orang ramai dan pihak vendor boleh berhubung dengan syarikat berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Hadi berkata, WTCKL menghargai sokongan yang diberikan dan memohon maaf atas segala kesulitan dihadapi.
Khamis lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Global Entertainment (International) Sdn. Bhd., Datuk Mohammad Alif Hakim dalam sidang akhbar mengumumkan penurunan harga tapak gerai bagi acara itu antaranya daripada RM1,500 kepada RM900, RM3,500 kepada RM1,800 dan RM12,000 kepada RM5,000.
Katanya, penurunan harga itu dibuat selepas mengambil kira keluhan peniaga sekali gus bagi membantu golongan berkenaan menjana pendapatan pada musim perayaan.
Ujarnya, karnival tersebut turut mendapat kerjasama Kelab Usahawan Selebriti Malaysia (KUSM) dan Artist Corner.
Antara rakan artis yang terlibat ialah Lann A To Z, Wan Scoin, Jaafar Onn, Ayie Floor 88, Amer Forteen, Elyana, Aidil Aziz, Risteena, Izzue Islam, Rina Eva, Anne Abdullah, Farah Wahida, Cat Farish, Ayu Damit, Soffi Jikan, Rahmat Mega, Sasha Aziz dan ramai lagi. – UTUSAN










