BAGAN DATUK: Dalam usia mencecah 83 tahun, seorang lelaki di sini masih mempunyai kudrat untuk meneruskan pekerjaan sebagai pemanjat pokok kelapa bagi menyara anak-anaknya.
Redzuan Darman yang berasal dari Teluk Nibung, Tanjung Balai, Sumatera, Indonesia berkata, dia sudah melakukan pekerjaan itu sejak 50 tahun lalu untuk membesarkan anaknya seramai 11 orang dan kini sebahagian daripada anak-anaknya itu sudah pun berkeluarga.
Katanya, dia menyedari usianya sudah lanjut untuk melakukan pekerjaan seberat itu namun dia tiada pilihan demi membesarkan tujuh anaknya yang masih dalam tanggungan yang berusia tujuh tahun hingga 14 tahun.
“Saya sudah 50 tahun tinggal Selekoh, di sini dan berkahwin dengan penduduk tempatan. Inilah pekerjaan yang saya lakukan, saya menawarkan perkhidmatan memanjat pokok kelapa kepada pekebun kelapa di sini.
“Dalam sehari saya boleh memanjat sekurang-kurangnya 50 pokok dan menurunkan kira-kira 2,000 biji kelapa sehari dengan upah 30 sen sebiji, sama ada kelapa tua atau kelapa muda.
“Saya tidak kenakan upah yang mahal, pada bulan puasa ini saya juga nak bersedekah kudrat.
“Saya terus bertahan melakukan pekerjaan ini walaupun sudah tua demi mengalas perut anak yang masih dalam tanggungan saya dan seorang isteri kerana hanya ini kerja yang saya boleh buat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dia bersyukur kerana diberikan kelebihan untuk melakukan pekerjaan itu sejak dari muda sehingga dapat menyara keluarganya yang besar sehingga mereka sudah menjalani kehidupan masing-masing.
Katanya, rezekinya tidak pernah putus kerana setiap hari pasti ada pekebun yang memerlukan dia untuk menurunkan buah kelapa.
“Biasanya saya ke kebun pukul 8 pagi dan habis kerja pukul 12 tengah hari. Dalam sehari saya boleh menurunkan kira-kira 2,000 kelapa. Saya tidak menggunakan sebarang peralatan seperti parang atau pisau untuk menurunkan buah kelapa cukup hanya menggunakan tangan,” katanya.
Menurutnya, pelbagai pengalaman mencemaskan dialaminya sepanjang melakukan pekerja itu antaranya diserang tebuan yang bersarang di atas tandan kelapa, ditimpa pelepah kelapa dan kesukaran memanjat semasa hujan.-utusan










