UMNO Arau tubuh skuad kebajikan, dekati golongan kurang berkemampuan - Utusan Malaysia

UMNO Arau tubuh skuad kebajikan, dekati golongan kurang berkemampuan

ROZABIL Abd. Rahman bergambar bersama pengamal media pada majlis Moreh Bersama Media di The Bunker Cafe, Batas Liku, Arau, Perlis semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO Bahagian Arau mengambil inisiatif menubuhkan skuad kebajikan dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan dan memerlukan di kawasan berkenan.

Penubuhan skuad tersebut diwujudkan bagi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan lebih sempurna dan dalam keadaan yang lebih kondusif.

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, cetusan idea menubuhkan skuad itu selepas beliau dalam siri turun padang di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini mendapati masih terdapat ramai golongan kurang berkemampuan.

“Apabila saya turun ke kampung-kampung sekitar kawasan ini, saya amat gusar dan terkilan apabila melihat masih terlampau ramai orang kurang berkemampuan dengan keadaan rumah yang tidak teratur serta tahap kebersihan yang berada pada tahap rendah.

“Jadi disebabkan itu saya ambil pendekatan dengan mengarahkan pergerakan sayap wanita, pemuda dan puteri bahagian untuk menubuhkan skuad ini,” katanya selepas majlis moreh bersama media di The Bunker Cafe, Batas Liku, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Rozabil berkata, skuad kebajikan tersebut akan turun padang secara berterusan di setiap kawasan dalam bahagian berkenaan bagi mengenal pasti penduduk yang memerlukan.

Ujarnya, penduduk terlibat juga akan dikenal pasti oleh ketua cawangan atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

“Kita akan turun pada setiap minggu untuk pastikan penduduk memerlukan ini dapat memiliki kehidupan yang lebih kondusif,” katanya.

Dalam pada itu, Rozabil berkata, terdapat juga beberapa inisiatif di bahagian lain dalam negeri ini disifatkan sebagai baik dan boleh dikembangkan ke peringkat UMNO Perlis.

Tambahnya, persetujuan bagi mengembangkan program-program itu dicapai menerusi perbincangan bersama dua lagi ketua bahagian di negeri ini.

“Contohnya seperti inisiatif dilaksanakan oleh UMNO Bahagian Kangar yang mewujudkan portal aduan dan kita melihat ia merupakan satu pelaksanaan yang baik serta boleh dikembangkan ke peringkat negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya