Tya teruja bergandingan dengan Ogy - Utusan Malaysia

Tya teruja bergandingan dengan Ogy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Tya Ariffin teruja kerana akhirnya dapat bergandingan dengan aktres hebat tanah air, Fauziah Ahmad Daud menerusi drama pendek, Saksi Malam Syawal.

Tya yang juga menantu kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, dia sendiri terkejut dan bangga apabila pelakon wanita hebat itu sudi menerima tawaran untuk berlakon bersamanya dalam drama pendek itu.

“Saksi Malam Syawal ini adalah karya terbaharu daripada Mutyara bersempena sambutan Syawal tahun ini. Apa yang lebih membanggakan saya dan pasukan apabila Kak Ogy sudi menerima tawaran untuk berlakon.

“Ini satu penghargaan dan pengalaman yang cukup bermakna buat kami. Menerusi drama itu, kita nak memperlihatkan realiti hubungan menantu dan mentua dalam menyambut raya,” jelas Tya.

Saksi Malam Syawal yang ditayangkan secara digital di saluran Youtube The Tya’s Family berkisarkan kisah seorang mentua berperangai ‘hantu’ yang memberi layanan yang teruk kepada menantunya.

Dalam drama pendek yang menggabungkan lakonan hebat bintang dua negara itu juga, pelbagai babak memaparkan kekejaman mentua terhadap menantunya.

Malah, Tya yang melakonkan watak menantu menggunakan bahasa Indonesia, sementara Fauziah sebagai mentua bercakap dalam berbahasa Melayu.

Sementara itu, berkongsi pengalaman berlakon bersama seniwati hebat itu, Tya bersyukur kerana pelakon prolifik itu tidak lokek ilmu dan banyak mengajarkan teknik lakonan yang betul.

“Saya nak berterima kasih kepada Kak Ogy kerana banyak membantu saya dan pasukan sepanjang penggambaran dibuat. Kak Ogy bukan saja berlakon, tapi juga menjadi guru di lokasi.

“Bagi saya, situasi sebegini sangat jarang berlaku dalam mana-mana produksi. Sebab itu, untuk karya kali ini saya anggap ia sangat bermakna, memberikan banyak pengalaman serta ilmu,” katanya.

Dalam pada itu, Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy berkata, drama tersebut mengandungi pelbagai nilai moral dan bakal meruntun jiwa peminat yang menonton.

“Tetapi saya bagi awal-awal, aksi tampar dan pukul itu hanya lakonan. Ia adalah teknik lakonan. Bunyi tamparan pula adalah kesan bunyi.

“Saya masih waras dan tidak akan tampar betul,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN