Tubuhkan segera Suruhanjaya Kesihatan

Tubuhkan segera Suruhanjaya Kesihatan

Kerajaan digesa segera menubuhkan Suruhanjaya Kesihatan bagi menangani isu-isu berkaitan doktor kontrak dan melakukan reformasi kesihatan awam negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Kesihatan dengan kadar segera, bukannya menunggu sehingga kertas putih kesihatan dibentangkan

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, suruhanjaya itu juga perlu berfungsi secara aktif bagi melakukan reformasi kesihatan awam negara.

Katanya, kerajaan tidak boleh memandang ringan isu dihadapi doktor kontrak yang sudah tidak mampu bersabar kerana sudah bertahun-tahun menunggu termasuklah menanti pembentangan kertas putih kesihatan pada Jun ini.

“Kami amat memahami perasaan, keluhan dan pengorbanan yang telah dilakukan anggota-anggota kesihatan. Telah bertahun keluhan demi keluhan disuarakan, kerajaan silih berganti, namun masalah yang membelenggu sektor kesihatan masih tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Menyentuh mogok itu, Ahmad Yunus berkata, pihaknya berpendirian kebajikan dan keadilan kepada anggota kesihatan adalah teras utama dalam usaha untuk mencapai sistem kesihatan yang baik dan cemerlang.

Katanya, kerajaan diingatkan supaya janganlah pula dihukum kakitangan awam yang terlibat dengan mogok tersebut.

“Dalam masa yang sama, kami juga menasihati peserta mogok agar menjaga diri masing-masing supaya dapat terus berkhidmat untuk rakyat. Kami percaya, cetusan rasa ini didorong oleh rasa cinta pengamal kesihatan awam untuk terus berbakti kepada rakyat,’’ katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab ini harus juga diselesaikan bersama pihak pembangkang demi kelangsungan perkhidmatan kesihatan negara yang lebih baik.

Sementara itu, pengamal perubatan, Dr. Tan Seng Giaw berkata, kerajaan perlu menambah baik sistem petugas perubatan supaya lebih adil dan mampu membela nasib kumpulan kerja profesional itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, masalah doktor kontrak yang sudah menjangkau bertahun-tahun menyebabkan ribuan doktor menghadapi kesukaran sehingga ramai beralih ke sektor swasta atau berhijrah ke negara lain.

Keadaan itu, menurut beliau, mengakibatkan kerugian kepada institusi kesihatan negara dan berlaku situasi lebih buruk kerana kekurangan tenaga kerja untuk menampung jumlah pesakit ramai.

Bekas Ahli Parlimen Kepong  itu berkata, permasalahan tersebut bukan sahaja melibatkan peruntukan perbelanjaan lebih besar tetapi satu bentuk penyelesaian menyeluruh dengan merombak kepincangan sistem yang tidak membela nasib kumpulan doktor kontrak.

“Kalau kita ada sistem lebih adil, tak kira siapa doktor itu, jika syaratnya tidak boleh memilih lokasi kerja maka wajib berkhidmat mengikut tempoh tertentu. Sedangkan kita tahu ada antara mereka dilayan tidak adil dan tindakan pilih kasih,” katanya di sini semalam.

Penganjur kempen mogok doktor kontrak dikenali  Mogok Doktor Malaysia menasihatkan orang awam supaya tidak mengunjungi hospital awam dan klinik-klinik kesihatan mulai esok (Isnin) hingga Rabu ini kerana mereka berkemungkinan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

Mereka mendakwa lebih 8,000 doktor kontrak akan mengadakan protes dengan mengambil cuti perubatan atau kecemasan secara beramai-ramai sebagai menentang sistem tidak adil dan gaji di paras rendah.

Seng Giaw berharap para doktor kontrak tidak melakukan mogok kerana ia menyusahkan rakyat dan pesakit dan dalam masa sama, kerajaan perlu berunding dan dapatkan satu kompromi supaya tindakan mogok tidak berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN