KOTA KINABALU: Pendedahan laporan tragedi Double Six yang diumumkan semalam tidak berjaya merungkai segala persoalan yang ingin diketahui oleh keluarga mangsa yang terkorban.
Anak kepada salah seorang mangsa, Datuk Donald Peter Mojuntin berkata, laporan yang didedahkan tidak lengkap dan bersifat anti klimaks kerana kesalahan diletakkan kepada seorang individu sahaja iaitu juruterbang pesaw
“Saya berusia 11 tahun semasa nahas berlaku dan kami dengar ada saksi menyatakan berlaku letupan sebelum kapal jatuh ke dalam laut. Tapi, perkara ini tidak disebut dalam laporan semalam.
“Kalau baca laporan itu, semua ini adalah salah juruterbang atau Sabah Air. Bagi saya laporan itu tidak lengkap dan saya percaya bagi keluarga lain, mereka juga inginkan perkara yang sama.
“Kami ingin bertanya mana laporan forensik bangkai pesawat? apa jadi dengan kotak hitam pesawat tersebut?.
“Pendedahan ini hanya menambah penderitaan keluarga yang kehilangan seorang ayah yang hanya berusia 37 tahun semasa tragedi itu berlaku. Malah, persoalan yang timbul sekarang lebih banyak daripada dahulu,” katanya semasa sidang akhbar di kediaman lama keluarganya di Kampung Hungab, Penampang hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan laporan yang didedahkan, tiada sebab untuk laporan tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Menurut bekas Ahli Parlimen Penampang itu, keluarganya tidak faham kenapa laporan itu perlu diklasifikasikan sebagai OS.
“Adakah ia berkaitan dengan kepentingan awam atau adakah ia diletak di bawah OSA kerana ingin melindungi orang-orang yang berkepentingan?,” soalnya.
Walaupun keluarganya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyahklasifikasikan dokumen berkaitan tragedi Double Six itu namun, pendedahan tersebut menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding ketenangan kepada keluarga mangsa.
Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan persekutuan untuk bekerjasama dengan kerajaan Australia bagi mendedahkan laporan mengenai pesawat tersebut. Jika benar tiada konspirasi maka, laporan forensik yang berkaitan perlu didedahkan.
“Tidak adil untuk meletak kesalahan kepada seorang individu sahaja iaitu juruterbang sedangkan dalam pesawat itu lebih separuh daripada kabinet negeri berada atas pesawat tersebut.
“Laporan penuh berkaitan laporan forensik, kotak hitam dan juga buku log juruterbang tidak harus dirahsiakan kerana ia akan membawa kepada konspirasi. Sembunyikan laporan sebegitu tidak boleh diterima jadi, kita harap laporan kerajaan Australia akan menyebut tentang laporan forensik dan juga kotak hitam pesawat,” katanya.
Donald adalah anak sulung kepada Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Peter Mojuntin yang terkorban dalam nahas pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia yang berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu. –
Nahas pesawat itu turut mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens; Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Datuk Chong Thien Vun; dan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Salleh Sulong serta tujuh individu lain.
Pesawat yang dikendalikan oleh Sabah Air itu sedang dalam perjalanan dari Labuan sebelum terhempas di Sembulan iaitu kira-kira dua kilometer dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu.- utusa