TANJONG KARANG: Tiga kali berturut-turut sambut Ramadan dan Aidilfitri di atas katil akibat serangan angin ahmar, namun seorang ibu tunggal tetap tabah kerana tiga anak perempuannya sentiasa berada di sisi.
Serangan angin ahmar yang pertama pada 2020 diikuti pada 2021, menyebabkan Siti Zahra Rosle, 41, terlantar di atas katil.
Sejak itu, dia hanya mampu melihat wajah tiga anak perempuannya membesar selain menyuapkan makanan serta minuman kepadanya dengan dibantu oleh saudara mara terdekat.
Setahun sebelum diserang angin ahmar, dia kehilangan suami tersayang yang meninggal dunia juga akibat angin ahmar.
“Bila ibu lapar, dia akan merengek sebab kadangkala apa yang dia cakap tidak berapa jelas.
“Namun kami adik-beradik sudah faham rutin keperluan harian ibu termasuk makan minum, salin pakaian dan sebagainya.
“Sejak diserang angin ahmar, ibu diberikan susu khas yang dimasukkan melalui lubang hidungnya,” kata anak sulung Siti Zahra, Nur Balqis Shah Indera Purnama, 17, di Kampung Ampangan di sini.
Dua lagi adik Nur Balqis ialah Nur Damia Shah, 13, dan Nur Masturina Shah, 11, seorang pengidap sakit jantung berlubang sejak kecil. Tiga beradik berkenaan menuntut di sekolah berhampiran dengan Nur Balqis bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Menurut Nur Balqis, setiap kali Ramadan dan menjelang Aidilfitri, mereka adik-beradik akan membelikan sepasang pakaian raya untuk ibu mereka.
“Itu sahaja yang kami mampu tetapi lebih penting apabila melihat ibu gembira bukan sahaja melihat wajah kami serta sanak-saudara yang lain, malah masih mampu tersenyum apabila dipakaikan pakaian raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Keluarga berkenaan mendapat bantuan zakat bulanan sebanyak RM450 selain bantuan susu khas serta kain lampin pakai buang.
Menurut Nur Balqis, sambutan Ramadan dan Aidilfitri bagi mereka sekeluarga mungkin tidak semewah orang lain, tetapi masih dapat merasakan keceriaan apabila ibu mereka tersenyum.
“Bila tiba 1 Syawal kami tiga beradik akan membisikkan kepada ibu bahawa hari itu hari raya. Ibu faham dan menitiskan air mata apabila kami tiga beradik bersalaman serta mencium ibu sambil memohon diampunkan segala dosa.
“Kami sekeluarga menyambut Aidilfitri seadanya dengan kuih-muih disediakan saudara-mara terdekat termasuk atuk dan nenek,” katanya. – UTUSAN











