KLUANG: Kerja amal dengan menziarahi golongan kurang berkemampuan oleh Kelab Kluang Easy Bikers (KEB) diteruskan lagi tahun ini dengan menyasarkan 110 keluarga di daerah ini sebagai penerimanya.
Untuk tujuan itu, kira-kira 40 ahli kelab menjelajah ke kampung dan taman selama tiga hari pada sebelah petang bermula semalam untuk menyampaikan bakul makanan melalui Program Konvoi Amal Ramadan kelab itu.
Pengerusi KEB, Ismail Nyasa berkata, program yang sudah dilaksanakan sejak lebih 10 tahun setiap kali menjelang Syawal itu sebagai usaha pihaknya membantu golongan kurang berkemampuan membuat persediaan menyambut kedatangan lebaran tidak lama lagi.
Katanya, barang-barang makanan yang disumbangkan pula adalah hasil daripada sumbangan ikhlas ahli kelab selain orang ramai yang menyokong aktiviti kebajikan KEB.
“Untuk tahun ini, 110 keluarga dari seluruh daerah ini terpilih untuk menerima bantuan bekalan barang-barang keperluan dan makanan daripada kami.
“Insya-Allah, atas komitmen tinggi daripada semua ahli, barang-barang ini akan dapat disampaikan kepada penerima melalui pergerakan secara bermotosikal selama tiga hari pada sebelah petang,” Katanya.
Sementara itu, Nurul Nadlisa Hamdan, 35, dari Kampung Tengah, Kluang melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang disalurkan kepada keluarganya.
Katanya, sebagai seorang ibu tunggal dan perlu menjaga dua orang anak yang masih kecil sememangnya tidak ada apa-apa persiapan dilakukan untuk menyambut kedatangan Syawal nanti.
“Dengan bantuan ini dapatlah digunakan untuk menyediakan sedikit juadah pada pagi raya nanti sebagai usaha menggembirakan hati anak-anak agar mereka dapat merasakan kemeriahan Syawal,” katanya. – UTUSAN










