KOTA KINABALU: Sentimen parti tempatan bukan jaminan untuk sesebuah parti itu memperoleh sokongan rakyat pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ketua Wanita UMNO Sabah, Senator Datuk Noraini Idris berkata, biarpun fokus diberikan kepada parti tempatan di peringkat negeri tapi, pada akhirnya untuk menjadi lebih kuat, sokongan parti di peringkat pusat itu jauh lebih penting.

Beliau berkata, sebagai sebuah parti keramat, UMNO ditubuhkan berdasarkan perjuangan orang-orang melayu untuk bebas daripada penjajah.
Sehingga kini, perjuangan UMNO masih relevan di Sabah biarpun parti ini adalah sebuah parti nasional namun, ia diterajui oleh pemimpin-pemimpin tempatan.
“Tidak boleh hanya mainkan isu parti tempatan sebab parti tempatan sahaja tidak cukup kuat untuk bersuara jika tiada sokongan parti nasional. Bagi menjadikan kita lebih kuat, kerjasama di peringkat persekutuan itu amat diperlukan.
“Pada masa ini, kita adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan,” katanya selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Sabah sesi 2023-2026 di Ibu Pejabat UMNO Negeri Sabah hari ini.
Mengulas tentang dakwaan sokongan terhadap UMNO di Sabah semakin berkurang, Noraini berkata, tidak timbul isu sokongan berkurang.
Berdasarkan pemilihan parti baru-baru ini, ramai ahli-ahli UMNO menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan dalam pelbagai peringkat.
“Kalau kita tengok ahli-ahli di peringkat cawangan yang datang bersidang tetap sama seperti sebelum kewujudan parti-parti tempatan. Sambutan terhadap UMNO tetap ada sehingga kini.
“UMNO adalah parti keramat yang ditubuhkan berdasarkan perjuangan orang-orang melayu dan orang tempatan untuk bebas dari penjajah.
“Itu asas perjuangan kita, berbeza dengan parti lain yang ditubuhkan sebab persengketaan dan perseteruan kerana tidak bersetuju dengan pemimpin tertentu. Asas perjuangan UMNO berbeza dengan parti-parti lain,” katanya.
Mengenai majlis angkat sumpah itu, beliau berharap semua ahli jawatankuasa yang baharu dilantik akan memberi sepenuh komitmen dan sokongan untuk pastikan parti ini terus kekal relevan di Sabah.
Jelas beliau, pemilihan parti telah berakhir maka, tiba masa untuk pemimpin UMNO di semua peringkat termasuk Wanita untuk bersatu agar parti ini menjadi lebih kuat dalam berhadapan PRN yang akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi.










