PETALING JAYA: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) berharap perbincangan diadakan antara pengendali dan jemaah umrah bagi membincangkan nilai kerugian perlu ditanggung kerana kedua-duanya mangsa kepada keadaan.
Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, situasi tersebut terjadi apabila wang pendahuluan jemaah digunakan untuk membuat tempahan bagi kos perjalanan dan penginapan tetapi tidak diperoleh semula apabila rancangan terbatal ekoran pandemik Covid-19.
Menurut beliau, perkara itu menyebabkan pengendali umrah yang dikatakan scammer adalah sebenarnya juga mangsa kepada keadaan apabila perlu menanggung rugi sehingga berjuta-juta ringgit kerana kengganan pihak ketiga memulakan wang deposit.
“Sebenarnya perkara ini bukan sebab penipuan tetapi pengendali ‘sangkut’. Semasa 2020 iaitu ketika negara berhadapan pandemik Covid-19 hingga penerbangan terpaksa dibatalkan lalu menyebabkan wang deposit jemaah tidak dipulangkan semula.
“Pihak hotel tidak pulang semula duit deposit tu apabila jemaah tidak dapat ke sana, ada pula syarikat penerbangan yang enggan langsung membayar semula mahupun cuba menggantikan tarikh penerbangan baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, sebuah syarikat pengendali umrah dan haji terus menjadi perhatian apabila sekumpulan bakal jemaah yang membuat tempahan umrah dengan agensi berkenaan tampil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kelmarin. –utusan










