PETALING JAYA: Semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan diarah dihentikan dengan serta-merta bermula hari ini sehingga 7 Mei bagi memastikan kelancaran trafik bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran aliran trafik semasa Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Saya ambil maklum isu kesesakan di Lebuhraya Karak-KL yang dikatakan bermula semalam dan telah mengarahkan semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan dihentikan serta-merta.
“Arahan ini berkuat kuasa serta-merta bermula 18 April hingga 7 Mei 2023 bagi memastikan kelancaran lebuh raya di musim perayaan ini,” katanya dalam Facebook beliau.
Terdahulu, orang ramai yang menuju ke negeri Pantai Timur bersempena Hari Raya Aidilfitri berdepan kesesakan trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sejauh 11.6 kilometer (KM).
Menerusi pengkongsian orang ramai di media sosial, kesesakan itu bermula seawal pagi dipercayai terdapat kerja-kerja penyelenggaraan di lokasi.
Perkara disahkan LPT menerusi Facebook yang memaklumkan, trafik sesak 11.6KM dari KM 20.2 sehingga KM31.8 berikutan terdapat kerja-kerja penyelenggaraan di lokasi.
Keadaan itu secara tidak langsung mencetuskan kemarahan pengguna lebuh raya yang menyifatkan kerja penyelenggaran tidak seharusnya berlaku sepanjang kesesakan trafik lalu menjelang hari raya. – UTUSAN










