Keselamatan Piala Dunia di AS cetus tanda tanya

Keselamatan Piala Dunia di AS cetus tanda tanya

Speaker ,Mike Johnson (R-LA) kembali ke pejabatnya selepas berucap kepada wartawan di Capitol Amerika Syarikat pada 11 Jun 2026 di Washington, DC dengan Dewan Perwakilan gagal melanjutkan kuasa pengawasan Seksyen 702 di bawah Akta Pengawasan Risikan Asing sebelum tarikh luput pada Jumaat, sekali gus menamatkan kuasa tersebut.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ketika Piala Dunia 2026 sedang berlangsung merentasi Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, isu keselamatan kembali menjadi perhatian utama selepas kuasa pengawasan risikan utama AS di bawah Seksyen 702 Akta Pengawasan Risikan Asing tamat tempoh hari ini.

Kegagalan Kongres meluluskan pelanjutan sementara menyebabkan peruntukan yang membenarkan agensi perisikan Amerika mengumpul komunikasi sasaran asing di luar negara tanpa waran kini terhenti, sekali gus mencetus kebimbangan terhadap keupayaan menangani ancaman keselamatan sepanjang kejohanan mega itu.

Seksyen 702 sebelum ini menjadi antara instrumen terpenting Washington dalam usaha mengekang ancaman keganasan dan aktiviti perisikan asing, termasuk pemantauan komunikasi yang turut melibatkan individu di dalam AS.

Namun, ia lama menjadi polemik dalam kalangan pejuang hak privasi dan ahli politik dua parti yang mendakwa program berkenaan berpotensi mengumpul data rakyat AS tanpa perlindungan mencukupi.

Situasi itu menjadi lebih genting ketika Piala Dunia menghimpunkan penyokong dari 48 negara di 11 bandar tuan rumah, dengan agensi keselamatan memberi amaran mengenai risiko ancaman ekstremis terhadap acara sukan bertaraf global tersebut.

Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel, menegaskan keselamatan Piala Dunia menjadi keutamaan tertinggi, dengan jaminan bahawa usaha pencegahan ancaman akan dilaksanakan secara berterusan bagi melindungi pemain, penyokong dan pelawat antarabangsa.

“Kami akan bekerja tanpa henti bagi memastikan keselamatan pemain, penyokong serta semua rakyat Amerika Syarikat dan pelawat,” kata Patel.

Walaupun begitu, beberapa operasi pemantauan masih boleh diteruskan melalui pensijilan tahunan Mahkamah Pengawasan Risikan Asing yang diluluskan sehingga Mac 2027, namun status undang-undang keseluruhan program itu kekal tidak menentu berikutan kebuntuan politik di Washington.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN