Perlu segera daftar bahan kimia, elemen racun dalam dadah sintetik - Utusan Malaysia

Perlu segera daftar bahan kimia, elemen racun dalam dadah sintetik

SAIFUDDIN NASUTION Ismail (tengah) menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di SMK Puteri Wangsa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan perlu segera menyenaraikan kandungan serta bahan kimia terlarang baharu yang terdapat di dalam dadah sintetik di bawah Akta Racun 1952.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini bagi memudahkan tindakan undang-undang diambil terhadap individu terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah baharu.

Katanya, kelewatan mewartakan bahan kimia dalam kandungan dadah jenis sintetik itu boleh menjejaskan siasatan dan tindakan pendakwaan.

“Cabaran buat polis adalah kalau ada elemen racun dalam dadah sintetik itu tetapi ia tidak tersenarai (dalam Akta Racun), ia akan bagi kesan pada siasatan polis.

“Jadi, kita sudah bincang di peringkat jemaah menteri, koordinasi antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia adalah kunci kepada penyelesaian masalah ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wangsa, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, dadah jenis Stimulan Jenis Amfetamin (ATS) kekal sebagai ancaman paling dominan dengan kadar penggunaan mencecah 73.9 peratus khususnya melindungi individu berusia antara 15 hingga 39 tahun.

“Berdasarkan Laporan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan Terlarang di Malaysia tahun lalu, jumlah penagih dan penyalah guna dadah adalah seramai 191,832 orang.

“Antara kawasan yang merekodkan kes tertinggi adalah di Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Manakala di Johor, seramai 20,996 orang direkodkan terlibat dengan nisbah penagihan seramai 499 orang bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN