Persekutuan lulus RM250,000 baiki kemudahan sekolah menengah di Sipitang - PM

Persekutuan lulus RM250,000 baiki kemudahan sekolah menengah di Sipitang – PM

ANWAR Ibrahim merasmikan gimik pelancaran Majlis Perasmian Pecah Tanah Madani Link bertempat di Dewan Lundayeh, Sipitang, Sabah, hari ini. - IHSAN JABATAN PENERANGAN SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIPITANG: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan khas berjumlah RM250,000 bagi tujuan pembangunan meliputi kerja-kerja membaik pulih kemudahan asas di semua sekolah menengah di daerah ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan yang diluluskan serta-merta itu akan digunakan bagi membantu meningkatkan kemudahan pendidikan.

Katanya, ia termasuk keperluan peralatan komputer, kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta kerja-kerja menaik taraf infrastruktur sekolah.

Menurutnya, perincian pelaksanaan peruntukan tersebut akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memastikan projek dapat dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan.

“Saya mahu pastikan sekolah-sekolah di Sipitang tidak ketinggalan. Bincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak berkaitan mengenai keperluan tambahan sama ada peralatan komputer, kemudahan tenaga pengajar atau membaiki kemudahan sekolah.

“Saya luluskan segera peruntukan sebanyak RM250,000. Peruntukan ini akan diselaraskan melalui ICU dan saya mahu pelaksanaannya dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pecah Tanah Madani Link bertempat di Dewan Lundayeh, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah II merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan, budaya birokrasi yang menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek selepas pengumuman dibuat perlu dihentikan bagi memastikan rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan dengan segera.

“Saya tidak mahu projek diumumkan hari ini tetapi hanya bermula setahun kemudian. Selepas diumumkan, dalam tempoh dua minggu mesti ada wakil turun ke sekolah untuk melihat dan memastikan projek sudah mula dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut meminta ICU JPM memantau rapat pelaksanaan peruntukan tersebut supaya segala kerja yang dirancang dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada warga sekolah di daerah ini.

Kelulusan peruntukan khas itu dijangka memberi manfaat kepada beberapa sekolah menengah di Sipitang melalui peningkatan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif serta membantu memperkukuh kualiti pendidikan di daerah tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN