Tiada apa-apa impak dipecat daripada UMNO-ADUN Sugut

Tiada apa-apa impak dipecat daripada UMNO-ADUN Sugut

JAMES RATIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib menyifatkan pemecatan keahliannya dalam UMNO tidak memberi sebarang impak.

Beliau berkata, perkara itu memang sudah dijangka susulan tindakannya bersama tiga ADUN UMNO menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri ketika berlaku kemelut politik pada awal Januari lalu.

“Tiada apa-apa impak. Memang sudah tahu akan dipecat, memang pun saya mahu keluar juga,” katanya ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa Invest Sabah semalam.

James berkata, setakat ini beliau tidak menerima sebarang surat pemecatan daripada Majlis Tertinggi UMNO sebaliknya, beliau hanya mendengar pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada awal bulan ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat itu kini dilantik sebagai Ketua Penaja Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sugut selepas menyertai parti itu pada 21 Februari lalu.

Sementara itu, ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya berkata, beliau memutuskan untuk meneruskan khidmatnya kepada rakyat yang di kawasan yang diwakilinya sebagai ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Pemecatan keahliannya dalam UMNO tidak seharusnya menjadi isu kerana beliau bersama dua lagi ADUN UMNO iaitu James Ratib dan Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) terlebih dahulu mengumumkan keluar daripada parti.

Pada 9 April lalu, Bung Moktar mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk memecat tiga ADUN UMNO dan menggantung keahlian seorang ADUN UMNO di Sabah.

Tiga ADUN yang dipecat ialah James Ratib, Jasnih Daya dan Mohd. Arsad Bistari manakala, Ahli Parlimen Putatan yang juga ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya digantung keahlian selama enam tahun.

Keempat-empat bekas ADUN UMNO itu antara pemimpin UMNO yang menandatangani SD bagi menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri. Tindakan itu bertentangan dengan keputusan UMNO Sabah yang memutuskan untuk menarik sokongan daripada Hajiji dan kerajaan Sabah pada 6 Januari lalu.

Keputusan menarik sokongan itu dibuat berikutan tindakan Hajiji yang dilihat melanggar perjanjian persefahaman dengan Barisan Nasional (BN)/UMNO iaitu menamatkan lantikan ADUN BN/UMNO sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Susulan itu, berlaku rombakan kabinet negeri Sabah pada 11 Januari lalu yang menyaksikan Bung Moktar digugurkan daripada senarai kabinet dan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya diambil alih oleh Shahelmey.

Pada 21 Februari, ketiga-tiga ADUN UMNO yang dipecat itu mengumumkan keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat yang diterajui oleh Hajiji.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya