Tempoh kelulusan pembangunan perlu dipercepatkan

Tempoh kelulusan pembangunan perlu dipercepatkan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan yang bertujuan untuk memudahkan urusan perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu bagi mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan dan secara tidak langsung diyakini mampu menambah baik persekitaran pelaburan selain meningkatkan daya saing negara. 

Kata beliau, perkara itu antara keputusan yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-41 yang berlangsung semalam.

“Antara keputusan yang dipersetujui termasuk keperluan pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan sekali gus memudahkan urusan perniagaan.

“Usaha mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan ini secara tidak langsung diyakini mampu menambah baik persekitaran pelaburan selain meningkatkan daya saing negara,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Menurut Anwar, mesyuarat juga turut membincangkan cadangan pengukuhan sektor pertanian terutama keperluan menetapkan keluasan guna tanah bagi tujuan pengeluaran pertanian dan sumber makanan negara. 

“Dalam hal ini, penekanan harus diberikan kepada peningkatan produktiviti pertanian,” jelas Perdana Menteri.

Pada masa sama, beliau juga memaklumkan pemakaian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dalam pembangunan tanah perlu diaplikasikan sebagai salah satu solusi dalam menangani isu banjir kilat setelah MPFN melihat isu banjir kilat dilihat sering meresahkan rakyat. 

Selain itu, menurut Anwar, MPFN berpandangan aspek kawal selia pengurusan dan pembangunan ladang penternakan perlu terus diperkasakan menerusi pemakaian Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam. 

“Prosedur OSC 3.0 Plus ditambah baik dengan menetapkan hanya lima agensi sahaja yang wajib dirujuk untuk proses kelulusan ketimbang (berbanding) 19 agensi sebelum ini. Manakala, tempoh masa kelulusan akan dikurangkan daripada 42 hari kepada 21 hari,” katanya.

Kata Perdana Menteri, MPFN akan terus memastikan perancangan pembangunan bandar bergerak kepada perbandaran madani untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan mewujudkan persekitaran yang berdaya huni.

“Kerajaan kekal komited meneruskan kerjasama dan penyelarasan pembangunan di antara kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri demi mencapai agenda membangun negara Madani. Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN