PUTRAJAYA: Walaupun keluasan keseluruhan tanah rizab Melayu iaitu 4,996,406.42 hektar pada 2022 meningkat berbanding 4,963,190.80 pada 2021, terdapat tiga negeri yang menyusut dengan Kuala Lumpur paling ketara.
Tanah rizab Melayu di ibu negara yang pada 2021 adalah seluas 1,003.56 hektar kini mengecil kepada hanya 99.48 hektar.
Dua lagi negeri yang menunjukkan penurunan bagi tempoh yang sama adalah di Kedah iaitu daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar. Ini diikuti Perak yang merekodkan penurunan daripada 953,42.67 hektar kepada 953,40.87 hektar.
Dapatan itu adalah mengikut data Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (JKPTG) sejak tahun 1947 sehingga akhir tahun lalu.
Kedudukan tanah rizab Melayu masih kekal tanpa mudah dikurangkan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Rizab Melayu (ERM) negeri-negeri.
Mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai rizab Melayu hendaklah kekal sebagai rizab Melayu melainkan ia diisytiharkan dan diwartakan sebagai batal oleh pihak yang mempunyai kuasa iaitu Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat (RDM).
Jika mana-mana kawasan rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja, maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta-merta diisytiharkan sebagai ganti.
Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah sebagaimana Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Rekod pada tahun 1947 menunjukkan jumlah keluasan tanah rizab Melayu adalah 2,422,720 hektar dan seterusnya meningkat 4,338,664 hektar (1986) dan 4,393,935.42 hektar (1997).
Namun, pada tahun 2008, jumlah keluasan tanah itu menurun kepada 4,268,537.23 hektar (2008) tetapi meningkat semula 4,362,469.55 (2013); 4,362,516.48 (2014); 4,419,993.01 (2016) dan 5,035,838.61 (2017).
Ia seterusnya menurun sedikit pada 2018 iaitu 4,831,894.86, sebaliknya bertambah kepada 4,877,757.99 (2019) dan jatuh semula kepada 4,821,576.27 (2020).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar undang-undang, Mohd. Zainuddin Omar berkata, proses pengurangan atau penambahan tanah rizab Melayu bukan sewenang-sewenang dan perlu melalui proses yang juga mengambil masa.
Lazimnya, kata beliau, ia melibatkan kelulusan daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selain perlu melalui proses gazet.
“Untuk pengurangan tanah rizab Melayu, Perkara 89 (3) menghendaki tanah rizab Melayu yang dibatalkan, diganti dengan keluasan yang tidak kurang dari keluasan tanah rizab Melayu yang dibatalkan itu.
“Jadi sepatutnya tidak timbul isu tentang pengurangan tanah rizab Melayu sekiranya ia diganti dengan keluasan yang tidak kurang dari yang dibatalkan,” katanya di sini semalam.
Menurut Zainuddin, Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan turut menyatakan ada ruang untuk penambahan tanah rizab Melayu kerana tanah umum boleh ditukar kepada tanah rizab Melayu.
Jika berlaku penambahan dengan penukaran tanah umum kepada tanah rizab Melayu, kata beliau, Perkara 89(2) menghendaki negeri memberi pemberian hak milik umum dengan jumlah setara keluasan tanah umum yang ditukar kepada tanah rizab Melayu.
JKPTG dalam maklumat awam menyatakan, objektif rizab Melayu ialah menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa jua cara sekalipun kepada bukan Melayu.
Ini termasuk menyekat tanah pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu supaya tanah-tanah kepunyaan Melayu akan berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.
Kuasa pengisytiharan oleh pihak yang berkuasa adalah mewujudkan, membatalkan atau meminda had atau sempadan mana-mana rizab Melayu meliputi tanah kerajaan, tanah hutan simpan, tanah rizab awam dan tanah milik.
Antara syarat pengisytiharan mengikut Perkara 89 (2) Perlembagaan Persekutuan ialah tanah yang belum dimajukan (not developed) atau dicucuk tanam (cultivated) sahaja boleh diisytiharkan sebagai kawasan rizab Melayu.
Jika 100 hektar tanah kawasan baharu diisytiharkan, maka satu kawasan lain yang belum dimajukan atau dicucuk tanam seluas 100 hektar juga hendaklah disediakan untuk diberi milik pada orang ramai termasuk Melayu.
Mana-mana tanah yang dimiliki atau diduduki oleh orang bukan Melayu, atau orang bukan Melayu mempunyai hak atau kepentingan, tidak boleh diisytiharkan sebagai rizab Melayu mengikut Perkara 89 (4).
Bagi maksud Enakmen Rizab Melayu Kedah, tanah bandar atau tanah yang termasuk dalam kawasan ‘Sanitary Board’ tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu, manakala di bawah Enakmen Rizab Melayu Terengganu pula hanya tanah bandar atau tanah pekan yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu.- UTUSAN










