Subsidi bersasar sukar dilaksanakan

Subsidi bersasar sukar dilaksanakan

FIRDAUSI SUFFIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Biarpun pelaksanaan subsidi bersasar sukar untuk dilakukan namun, ia bukan perkara yang mustahil.

Perkara yang paling penting dalam pelaksanaan subsidi bersasar adalah data untuk mengenalpasti kumpulan yang layak menerima subsidi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi UiTM Sabah, Dr. Firdausi Suffian berkata, kerajaan boleh melaksanakan subsidi bersasar tapi, perlu ada data yang lengkap mengenai golongan yang layak dan kriteria yang membolehkan mereka layak menerima subsidi.

Walau bagaimanapun, bukan mudah untuk menetapkan kriteria tersebut kerana pelbagai faktor perlu dipertimbangkan dan diambil kira.

“Adakah kita ingin melihat pendapatan mereka seperti golongan T20, M40 mahupun B40 atau kita harus lihat kadar garis kemiskinan.

“Tapi perlu diingat, kadar garis kemiskinan setiap negeri adalah berbeza. Misalnya di Sabah, kadar garis kemiskinan kita RM2,500 berbanding 2,208 di peringkat nasional,” katanya.

Firdausi berkata, apabila subsidi bersasar dilaksanakan ia secara tidak langsung akan membantu mengurangkan bebanan kewangan kerajaan.

Barangan pertama yang boleh dikenakan subsidi bersasar adalah petrol kerana ketika ini, kerajaan membelanjakan hampir 48 peratus daripada RM77 bilion untuk menampung subsidi petrol yang kini memberi manfaat kepada semua golongan.

Beliau berkata, subsidi diberikan untuk membantu golongan yang susah, ia bukan insentif untuk semua golongan seperti yang berlaku pada masa ini.

“Kerajaan pernah melaksanakan Rasionalisasi Minyak di Semenanjung pada 2016, tapi tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak kerana kadar kemiskinan dan kos sara hidup tinggi.

“Sekarang, kita boleh lihat petrol Ron97 dan beberapa kategori minyak lain memang tiada subsidi,” katanya.

Menurut Firdausi, sekiranya pemberian subsidi ditarik semula, ia akan menyebabkan harga barangan meningkat kerana tiada lagi subsidi pukal yang ditanggung oleh kerajaan. Maka, kerajaan perlu mempertimbangkan menaikkan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada golongan B40.

“Saya melihat langkah menarik balik subsidi barangan itu lebih baik kerana barangan bersubsidi seperti telur dan ayam sering tidak cukup di pasaran malah, ada barangan yang diseludup keluar.

“Maka, jika kadar STR dinaikkan maka, golongan yang sepatutnya menerima subsidi boleh menggunakan wang tersebut untuk membeli barang keperluan harian tanpa rasa terbeban,” katanya.

Jelas beliau, cara ideal melaksanakan subsidi bersasar adalah mengeluarkan kad khas untuk golongan yang layak. Ia akan memudahkan peniaga mengenalpasti golongan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN