PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki warga Korea Selatan yang tersenarai sebagai individu dikehendaki dan bersembunyi di negara ini sejak 2016 akhirnya terbongkar selepas dia menjadi mangsa penculikan oleh tiga lelaki yang juga rakan senegaranya pada 17 April lalu.
Lelaki berusia 40 tahun itu diculik ketika dalam perjalanan pulang dari pusat peranginan Genting Highlands, Pahang apabila kenderaannya diekori sebelum dipintas oleh suspek.
Mangsa kemudian ditarik keluar dari kenderaan, dipukul, diikat dan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M. Kumar berkata, susulan kejadian itu, dua laporan polis telah diterima membabitkan seorang wanita dipercayai isterinya serta seorang rakan mangsa yang juga warga tempatan.
Menurut beliau, ketiga-tiga suspek menuntut wang tebusan kira-kira RM39.6 juta (10 juta USDT) melalui akaun kripto.
“Mangsa dilaporkan telah membayar sebanyak RM11.9 juta (3 juta USDT) kepada suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Kumar berkata, susulan kejadian itu, satu pasukan khas telah ditubuhkan melibatkan JSJ Kontinjen Pahang, Melaka serta Bukit Aman termasuk bahagian kongsi gelap, judi dan maksiat (D7); operasi khas (D8) dan jenayah berat (D9).
Menurutnya, hasil risikan dan siasatan rapi berjaya mengesan lokasi mangsa sebelum sebuah rumah inap desa di Melaka diserbu pada Selasa lalu.
Jelasnya, hasil serbuan tersebut, mangsa berjaya diselamatkan manakala tiga suspek warga Korea berusia antara 28 hingga 40 tahun turut ditahan.
Tambah beliau, sepanjang mangsa dikurung, lelaki itu turut diugut menggunakan objek menyerupai pistol, namun semakan mendapati ia adalah pistol tiruan.
“Suspek juga menggunakan tali dan pita pelekat untuk mengikat serta menutup mulut mangsa,” jelasnya.
Menurutnya, pihak polis turut berjaya mengesan aliran transaksi kewangan dan seterusnya membekukan kira-kira RM11.45 juta (2.46 juta USDT) daripada tiga akaun kripto yang terlibat.
Siasatan turut mendapati wang tersebut telah dipindahkan ke sepuluh akaun lain (lapisan kedua) bagi mengelakkan dikesan.
“Selain itu, kenderaan mangsa yang digunakan dalam kejadian turut ditemukan semula dan didapati didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang tidak lagi aktif,” ujarnya
Mengulas lanjut, Kumar berkata, siasatan mendapati dua daripada suspek memasuki Malaysia pada Mac lalu menggunakan pas lawatan sosial yang sah sehingga Jun ini, manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod kemasukan ke negara ini.
“Hasil kerjasama dengan Kedutaan Korea Selatan mendapati pasport mangsa telah dibatalkan selain turut dikeluarkan Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol) kerana dikehendaki pihak berkuasa Korea bagi siasatan berkaitan jenayah terancang dan perjudian haram,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk untuk mengenal pasti motif sebenar, namun setakat ini kes berkenaan dipercayai bermotifkan kewangan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik bagi tujuan wang tebusan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
“Walaupun kes ini melibatkan warga asing, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dan akan memastikan keadilan ditegakkan,” tegasnya. – UTUSAN








