Sekolah menengah terbeban hutang cetak UASA

Sekolah menengah terbeban hutang cetak UASA

POUZI SINGON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 20 peratus daripada kira-kira 2,000 sekolah menengah seluruh negara didakwa menanggung beban hutang selepas gagal menjelaskan bayaran percetakan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sesi 2022/2023 yang dicetak di luar sekolah.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, kebanyakan sekolah terpaksa menanggung hutang per­cetakan itu yang berjumlah antara RM2,000 hingga RM4,000.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak angka sekolah yang terbeban dengan hutang itu berkemungkinan lebih tinggi daripada jumlah yang dianggarkan itu.

“Kebanyakan mesin cetak di sekolah tidak dapat menampung percetakan yang banyak, jadi terpaksa hantar cetak di luar. Apabila hantar di luar, kos pula jadi tinggi dan sampai sekarang tidak dapat jelaskan bayaran.

“Isu ini berlaku apabila wujud salah faham dalam kalangan guru selepas format dan cetakan UASA itu tidak boleh diubah dan bagai tidak masuk akal dan memakan kos yang tinggi seperti kertas tak boleh depan belakang dan soalan serta rajah perlu besar.

“Walaupun salah faham, perkara itu sudah berlaku, jadi pihak kementerian perlu tahu bahawa hutang ini tak boleh dibayar sebab sekolah tidak ada duit kerana ia (membabitkan) peruntukan tahun lepas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pelaksanaan UASA mula diperkenalkan pada sesi persekolahan 2022/2023 bagi memperkukuhkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi tingkatan 1 hingga tingkatan 3 untuk sekolah menengah, manakala tahun 4 hingga tahun 6 untuk sekolah rendah.

PBD adalah antara komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkasakan berikutan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Format dan soalan ujian itu dipercayai disediakan Kementerian Pendidikan dengan ia boleh dijana daripada sistem yang dibangunkan kementerian.

Mengulas lanjut, Fouzi berkata, pengurusan sekolah yang terbeban kini hanya boleh mengharapkan sumbangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menampung beban berkenaan.

Namun, katanya, perkara itu hanya boleh dibantu sekiranya operasi, tadbir urus dan pengurusan kewangan PIBG di sesebuah sekolah itu berada dalam keadaan kukuh.

“Peruntukan ke sekolah yang diturunkan cuma 42 peratus terlebih dahulu tidak dapat tampung beban hutang itu, tetapi jika turun 100 peratus pun saya pasti ia tidak dapat membantu sebab itu peruntukan tahun ini.

“Apabila pihak pentadbir sekolah tidak mampu bayar, maka terpaksa mohon PIBG. jadi cuma mengharapkan PIBG, itu pun kalau persatuan itu ada duit, bagaimana kalau tidak ada duit?

“Tetapi kalau maklum kepada pihak atasan, mereka katakan pula kenapa suruh buat begitu, sedangkan pengurusan di sekolah sudah terbeban,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menambah, Kementerian Pendidikan juga diharap dapat memberi arahan yang jelas bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan guru berlaku.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan sekolah akhirnya menjadi mangsa seperti mana yang berlaku ketika ini.

“Kalau boleh zaman teknologi ini, arahan itu dirakam dan dikeluarkan melalui rakaman di laman web kementerian, jadi senang semua boleh faham dari situ.

“Sebab kalau buat taklimat atau majlis, kita takut ada salah faham jika pegawai itu tak beri perhatian yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN