PUTRAJAYA: Pentadbir dibenarkan menutup sekolah jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.
Itu antara garis panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) susulan situasi semasa cuaca panas di beberapa lokasi seluruh negara ketika ini.
Surat siaran garis panduan dan pekeliling berkaitan situasi itu dikeluarkan semalam yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Norisah Suhaili.
Menerusi surat siaran itu, institusi pendidikan di bawah KPM termasuk sekolah dibenarkan tutup jika kawasan mereka diisytiharkan heatwave (gelombang haba) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
“Selain itu, semua aktiviti luar perlu dihentikan jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.
“Antara contoh aktiviti luar yang tidak sesuai dilaksanakan pada tahap suhu amaran pertama ini ialah seperti merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian,” jelasnya.
Katanya, pentadbir perlu sentiasa memantau status suhu harian bagi cuaca panas setiap hari di daerah masing-masing yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.
Menurutnya lagi, penutupan institusi pendidikan hendaklah dimaklumkan oleh pentadbir kepada Pendaftar dengan serta-merta secara lisan dan bertulis menggunakan apa-apa medium yang sesuai.
Selain itu, KPM berkata, ibu bapa juga dibenarkan membawa anak ke hospital atau balik ke rumah jika anak mereka didapati tidak sihat ketika berada di sekolah.
Menurutnya, pentadbir juga perlu memastikan bilik mempunyai pengudaraan yang baik termasuk sentiasa memantau tahap kesihatan murid bagi mengelakkan sebarang risiko berkaitan strok haba berlaku serta penyakit yang lain.
“Garis panduan ini diharap dapat memastikan pengurusan penutupan institusi pendidikan dapat dilaksanakan secara teratur.
“Malah, dalam mempertimbangkan penutupan institusi pendidikan juga, aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid mestilah menjadi keutamaan komuniti institusi pendidikan,” jelasnya.
Katanya, pentadbir juga perlu menetapkan tarikh hari ganti persekolahan dan memaklumkan tarikh tersebut kepada pendaftar.
Sebelum ini, KPM dalam kenyataan berasingan turut memaklumkan semua aktiviti luar bilik darjah perlu ditangguhkan jika cuaca terlalu panas dan di luar jangkaan.
Menurutnya, arahan itu adalah antara tujuh langkah pencegahan yang perlu dilaksanakan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah KPM.
“Bagi kawasan yang bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan.
“Memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri,” tambahnya.
Katanya, semua murid juga perlu digalakkan mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dilaporkan berkata, hanya satu kes kematian akibat strok haba disahkan membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun di Kelantan.
Katanya, siasatan awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan juga mendapati, kematian bayi berusia 19 bulan pula sebagaimana laporan media bukan disebabkan strok haba tetapi akibat kelesuan haba.
“Pemantauan mendapati terdapat lima kes penyakit berkaitan cuaca panas dengan tiga kes dilaporkan di Sarawak iaitu melibatkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba.
“Dua kes lagi dilaporkan di Kelantan, melibatkan satu kes kelesuan haba dan satu kes strok haba yang menyebabkan kematian,” katanya.
Sementara itu, hebahan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menyaksikan terdapat lima kawasan berada pada tahap satu iaitu berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35-37 Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Setakat pukul 4.40 petang kelmarin, lima kawasan berkenaan adalah Kubang Pasu, Kedah; Raub, Pahang; Tangkak, Johor; Mukah, Sarawak dan Nabawan, Sabah.
Kawasan lain seperti Kota Bharu, Kelantan yang sebelum ini pada tahap satu kini kembali normal dengan suhu maksimum harian kurang 35 Celsius. – UTUSAN










