Sekolah berdaftar di Pulau Pinang ditawar rebat tarif air 30% - Utusan Malaysia

Sekolah berdaftar di Pulau Pinang ditawar rebat tarif air 30%

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menawarkan rebat tarif air sebanyak 30 peratus kepada sekolah-sekolah berdaftar di negeri ini untuk ‘penggunaan air bukan domestik’.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, semua sekolah berdaftar sama ada sekolah kerajaan, swasta, antarabangsa, kolej, sekolah agama dan tadika itu boleh memohon rebat tersebut.

Jelas beliau, rebat itu akan berlangsung selama enam bulan dengan tempoh sah permohonan tersebut antara April hingga September tahun ini dan pentadbir-pentadbir sekolah mesti memohon rebat tersebut daripada PBAPP sebelum 30 September ini.

“Permohonan dibuka mulai hari ini dan borang permohonan boleh dimuat turun secara dalam talian dari laman web PBAPP (https://pba.com.my/penang-water-tariffs/),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, keputusan menawarkan rebat itu dibuat sebagai tanda muhibah dalam usaha mengekalkan serta menyokong hubungan baik dengan 1,712 sekolah di negeri ini yang menyediakan pendidikan rendah dan menengah kepada beribu-ribu anak muda Pulau Pinang setiap hari.

Katanya, adalah jelas Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah menetapkan dan meluluskan peraturan yang mentakrifkan penggunaan air di sekolah sebagai ‘penggunaan bukan domestik’, bukannya PBAPP atau kerajaan negeri.

“Namun, mengambil kira maklum balas oleh pihak berkuasa sekolah, PBAPP bersetuju menanggung kos rebat enam bulan untuk sekolah-sekolah sebagai satu lagi aspek komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada Pulau Pinang dan unjuran jumlah kos rebat ini ialah sebanyak RM2.1 juta,” ujarnya.

Tambahnya, PBAPP juga mengekalkan purata tarif air domestik Pulau Pinang untuk 35,000 liter pertama sebulan pada RM0.32 setiap 1,000 liter pada tahun ini iaitu tarif air domestik terendah di negara ini serta satu daripada yang terendah di Asia.

“Purata tarif domestik menerima subsidi yang besar. Pada 2022, jumlah subsidi tarif domestik yang ditanggung oleh PBAPP berjumlah RM103.7 juta yang telah memanfaatkan 585,740 isi rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.