Rundingan sulit punca budaya komisen terus berlaku

Rundingan sulit punca budaya komisen terus berlaku

Golongan siswazah kini terpaksa bekerja walaupun ditawarkan gaji di bawah RM2,000 untuk membayar balik pinjaman pelajaran dan membantu ibu bapa. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rundingan dan transaksi secara sulit melibatkan projek kerajaan menjadi punca utama budaya memberi dan mengambil komisen sukar untuk ditangani.

Budaya tersebut dikenali sebagai kickback, yang menjadi budaya berleluasa dalam kalangan pemimpin dan kerajaan di beberapa buah negara termasuk Indonesia, Pakistan, Amerika Syarikat (AS) dan Itali.

Bekas Presiden Indonesia, Suharto pernah meminta komisen sehingga 25 peratus untuk kesemua kontrak kerajaan, manakala bekas Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari meminta 10 peratus komisen sebelum beliau meluluskan kontrak kerajaan.

Di Itali, dianggarkan sebanyak AS$4 bilion wang komisen diraih melibatkan projek kerajaan sepanjang 1980-an sehingga kerajaannya terpaksa melakukan penangkapan besar-besaran pada 1992.

AS pula memperkenalkan Akta Penguatkuasaan Anti Komisen (Anti-Kickback) pada 1986 bagi menyekat budaya komisen dalam kalangan penjawat awam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pasukan Khas Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar), Md. Alimuddin Rahim menyifatkan, budaya komisen tidak terkecuali di negara ini kerana ia suatu bentuk rasuah yang sukar untuk dipantau dan diawasi dengan efektif.

“Ini kerana setiap perbuatan itu di belakang undang-undang dan tiada pengawasan penuh penguat kuasa. Tanpa kerjasama rakan pejabat sebagai whistleblower, agak sukar dipantau dan kekerapannya boleh berlaku.

“Amalan ini masih berlaku dengan sikap suka sama suka pemberi dan penerima komisen yang dianggap memudahkan transaksi itu berlaku. Ia dilakukan secara rundingan sulit tanpa menampakkan transaksi nyata di khalayak pejabat,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih ada pihak yang meminta komisen semasa berurusan dengan kerajaan termasuk pejabat beliau.

Alimuddin yang juga Naib Presiden Persatuan Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, usaha untuk mencegah budaya komisen hanya akan mengambil tempoh yang panjang jika tidak dibanteras secara total melibatkan sesuatu jabatan.

“Kesedaran daripada ahli kerajaan yang mengamalkan integriti sebagai asas diri perlu juga diselarikan dengan sikap dan role model orang politik itu sendiri.

“Kes-kes yang masih berjalan melambangkan SPRM dapat membuktikan hasil dari sudut siasatan walaupun mahkamah kuasa terakhir yang menentukan pembuktian sesuatu kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tatakelola yang lebih telus dan terbuka juga boleh membantu mengurangkan amalan rasuah dan komisen.

“Pelaksanaan sistem dan proses yang lebih ketat dan jelas dalam perolehan kontrak kerajaan, pengurusan perbelanjaan dan pentadbiran wang awam akan membantu mengurangkan ruang untuk amalan rasuah dan komisen.

“Institusi penguatkuasaan perlu memastikan bahawa undang-undang yang berkaitan dengan rasuah dan komisen dilaksanakan dengan tegas dan adil. Hukuman yang tegas perlu dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam amalan tersebut tanpa mengira kedudukan atau pangkat mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN