KOTA BHARU: Mengekalkan resepi ‘air tangan’ ibu sejak 27 tahun lalu menjadi ‘rahsia’ utama martabak Kadok di sini laris sehingga terjual sebanyak 1,000 biji sehari sepanjang Ramadan.
Ahmad Rais Fikri Rosli, 30, berkata, resepi istimewa daripada ibunya Kamisah Ab Majid, 54, yang digunakan sejak 1996 lalu tidak diubah bagi memastikan keenakan rasamartabak Kadok kekal sehingga hari ini.
“Keistimewaan martabak Kadok juga adalah kami menggunakan bahan-bahan segar untuk membuat rempah inti seperti kunyit hidup, serai dan beberapa bahan lain.
“Kami juga menggunakan ayam dan daging tempatan bagi mengekalkan rasa aslinya meskipun harga bahan basah berkenaan sedikit mahal” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Kadok, di sini semalam.
Ahmad Rais Fikri memberitahu, sepanjang Ramadan jumlah jualan martabak akan meningkat lebih dua kali ganda berbanding hari biasa.
Katanya, hari biasa dia hanya mampu menjual di antara 300 hingga 400 keping.
“Permintaan sepanjang bulan Ramadan sangat tinggi, jadi segala persiapan termasuk memasak inti dan menyediakan doh perlu dilakukan sebelah malam.
“Setiap hari sebanyak 1,500 biji telur digunakan untuk membuat inti martabak serta 50 kilogram (kg) tepung gandum diperlukan untuk membuat doh,” ujarnya.
Ahmad Rais Fikri berkata, sepanjang Ramadan dia menjual tiga jenis martabak iaitu ayam dan daging masing-masing berharga RM6 sebiji, manakala martabak serunding dijual pada harga RM10 sebiji.
Katanya, pada bulan biasa dia turut menawarkan martabak sejuk beku yang sering mendapat permintaan daripada pelanggan luar Kelantan.
“Martabak serunding ini adalah menu baharu sempena bulan Ramadan tahun ini, setakat ini permintaannya sangat memberangsangkan daripada pelanggan.
“Walaupun sekarang ini, harga barangan meningkat , namun saya masih menjual dengan harga RM6 sebiji sejak dua tahun lalu,” katanya. – UTUSAN









