BAGAN SERAI: Pelbagai inisiatif pendidikan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 menunjukkan perkembangan positif apabila prestasi akademik pelajar di negeri ini terus mencatat peningkatan, selain membantu mengurangkan kadar keciciran.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, laporan kemajuan tahun keempat Perak Sejahtera 2030 yang dibentangkan baru-baru ini menunjukkan program yang dilaksanakan kerajaan negeri memberi impak terhadap peningkatan pencapaian pelajar terutama dalam peperiksaan awam.
Beliau berkata, antara pencapaian ketara ialah peningkatan prestasi pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain turut melibatkan peningkatan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerusi pelbagai program sokongan pendidikan.
Menurutnya, program Tuisyen Cikgu Saarani yang menjadi salah satu elemen penting dalam Perak Sejahtera 2030 memainkan peranan besar dalam membantu pelajar meningkatkan pencapaian akademik.
“Melalui program ini, kita menyediakan pelbagai kemudahan termasuk makanan percuma kepada pelajar yang mengikuti kelas tambahan, penyediaan buku modul latihan serta program peningkatan akademik hasil kerjasama Yayasan Perak, kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.
“Hasil pelaksanaan program-program ini dalam tempoh empat tahun menunjukkan peningkatan yang cukup baik dan berdasarkan penilaian JPN Perak, pencapaian SPM merupakan yang terbaik dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sinergi Komuniti MADANI di Kolej Komuniti Bagan Serai hari ini.
Mengulas lanjut pencapaian portfolio pendidikan selepas pembentangan laporan kemajuan Perak Sejahtera 2030 oleh Menteri Besar Perak baru-baru ini, beliau berkata, selain peningkatan prestasi akademik, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap isu keciciran pelajar menerusi pelaksanaan program Red Flag Risiko Cicir (RFRC) yang telah berjalan selama tiga tahun.
Katanya, program berkenaan berjaya membantu mengurangkan masalah keciciran khususnya dalam kalangan pelajar yang berisiko tidak meneruskan persekolahan.
Dalam aspek pendidikan tinggi pula, beliau berkata kerajaan negeri terus menyediakan sokongan kepada mahasiswa melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan sara diri dan bantuan kecemasan.
“Setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta bagi program bantuan sara diri dan kecemasan mahasiswa, selain pemberian insentif kepada mahasiswa baharu yang akan dikendalikan menerusi saluran berkaitan,” katanya. – UTUSAN









