KANGAR: Sejak beberapa tahun kebelakangan ini ‘kewajipan’ keluarga atau pasangan merakamkan gambar di studio sempena sambutan Aidilfitri seakan-akan sudah menjadi trend.
Berikutan itu juga, kebanyakan studio di negeri ini tidak ‘menang tangan’ menerima tempahan dari para pelanggan sejak awal Ramadan lagi untuk slot bergambar sempena hari raya tersebut.
Menariknya, kebanyakan studio ketika ini mengetengahkan pelbagai idea kreatif dan menyediakan ruangan untuk bergambar berbanding sebelum ini hanya berlatar belakang biasa seperti kain putih atau sebagainya.
Antaranya, IPhoto Studio di Jalan Kampung Pondok berhampiran stadium di sini, dengan lazimnya seminggu sebelum hingga seminggu selepas Aidilfitri, mereka menerima sehingga 500 pelanggan dengan purata kira-kira 60 slot untuk sesi bergambar sehari.
Sempena Aidilfitri tahun ini juga, studio berkenaan turut mengambil inisiatif menyediakan ruang berkonsepkan rumah tradisional di dalam studio yang menyajikan dekorasi dan susun atur cukup menarik untuk pelanggan bergambar sempena hari raya tersebut.
Malah, pemilik studio berkenaan, Nurul Fariz Jamil, 36, juga tidak kisah mengeluarkan perbelanjaan sehingga RM10,000 bagi menyediakan ruangan dan dekorasi menarik tersebut demi kepuasan para pelanggan merakamkan kenangan sempena Aidilfitri itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul Fariz berkata, sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, mereka mengetengahkan konsep laman tradisi di dalam studio dengan reka bentuk rumah tradisional dengan pelbagai sudut menarik untuk pelanggan merakamkan gambar.
Katanya, tempahan dibuka sejak sebelum Ramadan lagi dengan tiga minggu sebelum raya para pelanggan sudah datang untuk merakamkan gambar ‘raya’ masing-masing.
Ujarnya, lazimnya, seminggu sebelum dan seminggu selepas raya, slot atau tempahan bergambar tersebut sentiasa penuh.
“Sejak lima tahun kebelakangan ini trend bergambar di studio seolah-olah sudah menjadi ‘kewajipan’ untuk bergambar dalam keadaan lebih sempurna sama ada membabitkan keluarga atau pasangan.
“Jika dahulu, kebanyakkan studio hanya menyediakan latar belakang biasa namun kini pelbagai idea kreatif diketengahkan untuk dekorasi ruangan bergambar yang lebih realistik sesuai dengan suasana raya,” katanya.
Tambah Nurul Fariz, harga yang dikenakan untuk slot bergambar tersebut sekitar RM100 sehingga RM150.
“Alhamdulilah, setiap kali raya sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. Di awal-awal dahulu, kami hanya menerima sekitar 20 pelanggan sahaja namun sejak kebelakangan ini pelanggan mencecah sehingga 500 orang sempena Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN










