KUALA LUMPUR: Gelaran juara Kejohanan Badminton Remaja Asia tidak mengubah pendirian beregu campuran muda negara, Low Zi Yu yang enggan terlalu awal memasang impian mengikut jejak pasangan utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di pentas badminton senior.
Sebaliknya, pemain berusia 16 tahun itu memilih untuk terus berpijak di bumi nyata dengan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap perkembangan kariernya bersama pasangan beregu wanita, Noraqilah Maisarah Ramdan, selain menyerahkan kepada barisan jurulatih mengenai hala tuju dalam acara beregu campuran selepas ini.
“Itu saya belum fikir lagi kerana saya pun belum tahu sama ada kami akan bermain dalam kejohanan senior atau tidak dan semuanya bergantung kepada perancangan jurulatih.
“Buat masa sekarang saya cuma mahu fokus kepada beregu wanita bersama Aqilah dahulu,” katanya sebaik tiba di tanah air selepas muncul juara di Yatsushiro, Jepun, kelmarin.
Pada aksi final Ahad lalu, Zi Yu bersama Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal menamatkan penantian 19 tahun Malaysia apabila menewaskan gandingan China, Zheng Wei Gang-Li Meng Han 21-15, 22-20 untuk merangkul kejuaraan beregu campuran.
Mengulas kejayaan itu, Zi Yu menyifatkan sentuhan barisan kejurulatihan yang diketuai Hazwan Jamaluddin serta Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky menjadi antara faktor penting yang membantu mereka bangkit ketika berdepan tekanan pada set kedua.
Menurutnya, perubahan taktikal yang diberikan ketika waktu rehat berjaya mengubah rentak permainan selepas mereka melakukan beberapa kesilapan pada awal set sebelum kembali menguasai perlawanan sehingga memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia.
“Saya rasa jurulatih memang banyak membantu kerana apabila kami melakukan banyak kesilapan atau menggunakan strategi yang kurang tepat, mereka sentiasa memberi panduan dari belakang gelanggang.
“Pada awal set kedua kami bermain dengan cara yang salah, tetapi selepas interval dan jurulatih menukar strategi, corak permainan kami terus berubah,” katanya.
Selepas kejayaan bersejarah itu, Zi Yu akan mengalihkan perhatian kepada Terbuka Taiwan hujung bulan ini Bersama Noraqilah, manakala Ahmad Redzuan bakal meneruskan cabaran di Kejohanan Antarabangsa Remaja Malaysia dengan kedua-duanya memilih untuk terus memberi tumpuan kepada prestasi tanpa meletakkan sasaran terlalu tinggi. – UTUSAN










