NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom memilih untuk tidak terlalu memikirkan misi memburu pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026, sebaliknya mahu memberi tumpuan melepasi setiap pusingan terlebih dahulu sebelum merancang strategi di pentas final.
Menurut pemenang gangsa keirin Birmingham 2022 itu, laluan di Glasgow kali ini jauh lebih mencabar apabila acara pecut dan keirin bakal menghimpunkan sebahagian besar pelumba terbaik dunia daripada negara-negara Komanwel.
“Ini memang kerja saya, saya berlatih untuk berlumba dan bila tiba perlumbaan, inilah tanggungjawab saya, jadi saya hanya mahu menikmati latihan serta perlumbaan tanpa meletakkan tekanan kepada diri sendiri.
“Untuk Sukan Komanwel, kebanyakan pelumba terbaik dunia ada di sana termasuk nombor satu dunia dan ramai lagi dalam kelompok 10 terbaik.
“Jadi saya perlu fikir satu demi satu, layak ke pusingan seterusnya dahulu sebelum memikirkan strategi untuk menang di final,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan Ketua Kontinjen ke Sukan Komanwel, Datuk Awalan Abdul Aziz di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, kelmarin.
Shah turut mengakui keadaan fizikalnya semakin baik selepas menjalani pembedahan lutut dan kini sudah kembali mengikuti latihan penuh menjelang temasya yang akan membuka tirai dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
“Alhamdulillah keadaan saya semakin baik, kesakitan selepas pembedahan pun sudah banyak berkurangan dan saya sudah boleh menjalani latihan seperti biasa, cuma kami masih perlu mengawal beban latihan supaya tidak terlalu memaksa lutut.
“Hasil imbasan MRI juga menunjukkan kecederaan utama sudah pulih sepenuhnya, cuma masih ada kesan daripada pembedahan yang menyebabkan sedikit kesakitan jika digunakan secara berlebihan, tetapi setakat ini semuanya berada dalam keadaan yang baik,” katanya.
Shah dijangka menjadi sandaran utama negara bersama Datuk Azizulhasni Awang dalam acara keirin dan pecut individu dengan kedua-duanya bakal berdepan cabaran sengit daripada juara bertahan pecut Australia, Matthew Richardson selain pelumba England, Joe Truman, Hamish Turnbull dan juara keirin edisi 2022 dari Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul.
Untuk rekod, Shah menghadiahkan pingat gangsa acara keirin pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 selepas turut meraih gangsa keirin dan pecut di Sukan Asia Hangzhou 2022. – UTUSAN










