TANGERANG: Kebakaran di tapak pelupusan sampah Jatiwaringin, Tangerang sejak seminggu lalu dilaporkan merebak ke kawasan seluas lebih 15 hektar, menyelubungi lokasi sekitarnya dengan asap bertoksik dan memaksa ratusan penduduk berpindah.
Pihak berkuasa kesihatan melaporkan peningkatan kes penyakit pernafasan akibat pencemaran udara ketika pasukan bomba mengerahkan helikopter, lori tangki air, jentolak dan dron bagi mengawal kebakaran tersebut.
Pihak berkuasa berharap kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya menjelang hujung minggu ini. Namun, aktivis alam sekitar menyifatkan insiden itu sebagai antara petanda krisis pengurusan sisa yang semakin meruncing di Indonesia, malah menggelarnya sebagai ‘bencana ekologi akibat kecuaian sistemik’.
Kebakaran tersebut bermula pada 30 Jun, dipercayai daripada percikan api kecil yang ditiup angin kencang sebelum merebak ke beberapa lokasi, termasuk timbunan tinggi sampah dan kawasan yang sukar diakses anggota bomba.
Sejak itu, kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan perumahan berhampiran. Bacaan Kementerian Alam Sekitar menunjukkan kualiti udara di sekitar tapak pelupusan mencapai paras berbahaya, walaupun keadaan dilaporkan sedikit bertambah baik sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Ratusan penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara yang disediakan kerajaan tempatan.
Sehingga kini, pihak berkuasa kesihatan memeriksa sekurang-kurangnya 234 penduduk yang mengalami masalah pernafasan akibat kebakaran itu, dengan 72 daripadanya disahkan menghidap jangkitan saluran pernafasan akut.
Pengarah Penyelarasan Operasi Kecemasan Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Djohan Darmawan berkata, usaha memadamkan kebakaran memerlukan pendekatan khas kerana api bukan hanya membakar di permukaan, sebaliknya terus membara di dalam timbunan sampah.
Walaupun punca sebenar kebakaran belum disahkan, pertubuhan bukan kerajaan Forum Alam Sekitar Indonesia (Walhi) percaya ia berpunca daripada pengumpulan gas metana yang terhasil daripada pereputan sisa organik akibat amalan pembuangan sampah secara terbuka yang tidak dikawal dan semakin berleluasa di Indonesia.
“Ini adalah bom jangka yang tercetus akibat masalah pengurusan sisa yang terkumpul dan diabaikan selama bertahun-tahun tanpa sebarang penambahbaikan asas,” kata aktivis Walhi, Wahyu Eka Styawan kepada BBC.










