KUALA LUMPUR: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menggesa kerajaan untuk berhenti mengelirukan mereka dengan mengatakan tiada wang untuk memenuhi hak kumpulan tersebut sedangkan sebuah agensi kerajaan menyatakan perkara bertentangan.
Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, dua pengakuan bertentangan daripada kerajaan dan Kumpulan Wang Amanah Pesara (KWAP) menyebabkan seluruh pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) keliru dengan keupayaan kewangan sebenar.
Kata beliau, penjelasan daripada Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berhubung tuntutan veteran bahawa kerajaan ketika ini tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menunaikan tuntutan veteran adalah berbeza dengan apa yang diakui oleh Ketua Eksekutif KWAP.
Sedangkan, pengakuan KWAP yang disiarkan oleh sebuah majalah pada tahun lalu menjelaskan bahawa badan tersebut mempunyai RM136 bilion dan bersedia untuk membuat pembiayaan bayaran pencen, atas arahan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Jadi ini menimbulkan kegusaran dan kekeliruan bagi kami serta mewakili seluruh veteran di dalam negara. Mana satu yang betul? Ada pihak mengatakan memang kerajaan mengakui bahawa perkhidmatan tentera berbeza dan selepas itu mengatakan bayaran untuk pencen akan dibayar tetapi tertangguh kerana tiada duit.
“Tetapi pada masa sama, satu badan kerajaan yang memegang tanggungjawab diberi mengatakan bahawa duit ada. Jadi beri satu penjelasan atau tindakan yang membolehkan ahli veteran mendapat pembelaan,” katanya dalam sidang akhbar ibu negara semalam.
Terdahulu, media melaporkan pelarasan pencen seramai 78,546 veteran bersara sebelum 1 Januari 2013, adalah antara tiga perkara yang dituntut oleh kumpulan tersebut, dua tuntutan lain adalah bantuan sara hidup kepada 73,009 veteran tidak berpencen dan elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM).
Sementara itu, Sharuddin turut mendedahkan bahawa terdapat dalam kalangan veteran menerima pencen hanya RM1,083.97 sebulan dan jika mengikut data diperoleh mereka iaitu pada 31 Disember tahun lalu, sebanyak 98 peratus pesara veteran adalah golongan B40.
“Mereka ini selama 21 tahun berkhidmat, semata-mata menyerahkan jiwa dan raga demi negara.
“Perlu diingat, di bawah penyerahan tersebut ia bukan proses yang mudah, ia sukar. Di mana merupakan cagaran dan pengorbanan daripada pejuang-pejuang negara ini, bukan sekadar mereka tetapi juga ahli keluarga,” katanya.
Mengulas lanjut, Sharuddin berkata, kekeliruan yang boleh mengundang ketidakpuasan dan kesangsian seluruh veteran dalam negara adalah berpunca daripada kerajaan sendiri yang mengemukakan dua pengakuan bercanggah. Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menghentikan tindakan yang mengelirukan veteran kerana enggan kumpulan yang protes secara agresif semakin membesar dan mampu menggugat keamanan.- utusan
“Saya lihat dalam jangka masa terdekat iaitu dua tiga tahun ini, kita lihat ada tindakan daripada sekelompok kecil para veteran yang menunjukkan ketidakpuasan secara agresif, walaupun ia tidak melibatkan jumlah besar dan saya sendiri yakin tidak akan berlaku.
“Tetapi jangan sampai perkembangan-perkembangan ini boleh menimbulkan satu tindakan yang akan menjadi tidak terkawal. Kita mengharapkan negara ini terus ditadbir dengan aman dengan pengertian dan keprihatinan kerajaan terhadap golongan-golongan tertindas,” ujarnya.
Ketika ditanya berkenaan cadangan untuk menyelesaikan isu melibatkan pesara ATM, Sharuddin berkata, perkara tersebut sering diperkatakan dan berlangsung terlalu lama sehingga Mindef menerima lima Menteri berbeza namun penyelesaian tetap tidak ada.
“Jika mereka ingin tanya bagaimana perkara ini boleh diselesaikan, kerajaan sudah cukup data. Kami sudah terlibat lama dengan pelbagai program termasuk mesyuarat tertinggi Mindef tetapi apabila bertukarnya kerajaan dan menteri lain, perkara sama tetap terus diulang.
“Jika nak tanya saya apakah pendekatan boleh diambil? ia adalah political will (kehendak politik), itu saja. Pesara ATM di seluruh negara tidak boleh dikelirukan lagi dengan mengatakan jalan penyelesaian sedang dikaji, sudah berulang kali,” katanya. – utusan










