MURID sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, Selangor didedahkan dengan aktiviti menanam sayur-sayuran sejak hari pertama mereka belajar di sekolah tersebut.
Menurut Guru Besar SK Sijangkang Jaya, Hamizah Abdul Hamid, program tersebut bertujuan menggalakkan mereka untuk berasa gembira semasa menjalani aktiviti di sekolah.
“Di sekolah ini kita mewujudkan suasana hijau dengan pembinaan taman yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan herba dan sayur-sayuran. Murid-murid PPKI boleh menjalani aktiviti di sini bagi menceriakan sesi pembelajaran mereka.
“Kita juga mewujudkan pondok menanam cendawan bagi mendidik murid untuk menjadi pengusaha produk yang mendapat permintaan yang tinggi tersebut suatu hari nanti,” katanya.
Tambahnya, hasil pertanian itu akan dijual kepada penduduk tempatan selain untuk kegunaan sendiri.
SK Sijangkang Jaya sebelum ini pernah menerima empat Anugerah Khas Hari Kualiti Pendidikan Daerah Kuala Langat 2022 iaitu anugerah emas untuk Anugerah STEM dalam Pendidikan, Anugerah Cemerlang untuk Pendidikan Islam Terbilang,Anugerah Cemerlang untuk Anugerah PIBG dan Anugerah emas untuk Anugerah Kajian Tindakan dalam Pendidikan. – UTUSAN