PM Kemboja bincang konflik dengan Thailand bersama Anwar - Utusan Malaysia

PM Kemboja bincang konflik dengan Thailand bersama Anwar

ASKAR Kemboja (tengah kiri) berjabat tangan dengan tentera Thailand (tengah kanan) di kuil Khmer purba, Prasat Ta Muen Thom, di sempadan Kemboja-Thai di wilayah Oddar Meanchey. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet pada Jumaat memaklumkan beliau sudah berbincang dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pertikaian sempadan Kemboja-Thailand.

Dalam hantaran di Facebook, Manet berkata beliau menjelaskan pendirian kerajaan berkaitan sempadan Kemboja-Thailand kepada Anwar menerusi perbualan telefon.

“Kemboja berpegang kepada prinsip mengekalkan keamanan, persahabatan dan kerjasama yang baik dengan Thailand.

“Keputusan Kemboja untuk merujuk Kuil Ta Moan Thom, Kuil Ta Moan Tauch, Kuil Ta Krabei dan kawasan Mom Bei ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa adalah bagi mencari penyelesaian awal, aman dan berkekalan terhadap isu sempadan di kawasan berkenaan.

“Kami tidak mahu terus memanjangkan ketidaktentuan yang boleh mencetuskan semula konflik bersenjata,” kata Manet.

Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara jiran itu tercetus selepas seorang askar Kemboja terbunuh dalam kes pertempuran singkat dengan tentera Thailand di wilayah Preah Vihear pada 28 Mei lepas.

Beliau turut memaklumkan Kemboja akan terus bekerjasama dengan Thailand bagi mempercepat proses penentuan dan penandaan sempadan (kecuali empat kawasan yang disebutkan di atas) menerusi Suruhanjaya Bersama Kemboja-Thailand mengenai Persempadanan Tanah (JBC).

Mesyuarat suruhanjaya bersama itu dijadual berlangsung pada 14 Jun di Phnom Penh.

“Kemboja terus mengekalkan hubungan dua hala melalui semua mekanisme sedia ada demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara,” katanya kepada Anwar, yang merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini.

Manet turut mengucapkan tahniah kepada Anwar atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur akhir bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN