Trump dakwa hubungan dagang dengan China semakin ‘baik’

Trump dakwa hubungan dagang dengan China semakin ‘baik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan hubungan perdagangan antara AS dan China dalam keadaan sangat baik apabila kedua-duanya bersetuju mengadakan rundingan lanjut bagi menyelesaikan pertikaian tarif.

“Tidak seharusnya ada lagi keraguan mengenai kerumitan produk logam nadir bumi. Pasukan dari kedua-dua negara akan bertemu tidak lama lagi di lokasi yang akan ditentukan,” tulis Trump dalam media sosial.

Trump memaklumkan perkara itu selepas satu panggilan telefon dengan Presiden China, Xi Jinping pada Khamis.

Trump turut memaklumkan perbincangan itu hampir sepenuhnya tertumpu kepada isu perdagangan tanpa menyentuh isu lain seperti Russia-Ukraine atau Iran.

Kedua-dua pemimpin juga menzahirkan jemputan rasmi untuk saling melawat negara masing-masing pada masa hadapan, menurut ringkasan rasmi perbualan yang dikeluarkan.

Trump menyifatkan panggilan itu sebagai ‘sangat baik’ dan berlangsung selama kira-kira satu setengah jam membawa kepada kesimpulan yang sangat positif untuk kedua-dua negara.

Kerajaan China dalam kenyataan yang diterbitkan oleh agensi berita rasmi Xinhua berkata, AS sepatutnya mengambil pandangan realistik terhadap kemajuan yang dicapai dan menarik balik langkah-langkah negatif yang dikenakan terhadap China.

“Xi Jinping menyambut baik lawatan Trump ke China sekali lagi dan Trump menyampaikan penghargaan ikhlas beliau,” menurut kenyataan itu.

Panggilan yang dinanti-nantikan itu berlaku ketika ketegangan antara Washington dan Beijing memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini berhubung isu nadir bumi yang mengancam untuk menggugat gencatan senjata rapuh dalam perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Xi turut menggesa AS supaya bertindak dengan berhati-hati berhubung isu Taiwan dan mengelakkan daripada menghantar isyarat bercanggah.

Taiwan kekal sebagai isu sensitif dalam hubungan dua negara tersebut walaupun bukan merupakan fokus utama dalam perbincangan kali ini.

Sebelum ini, kedua-dua negara mencapai perjanjian selama 90 hari pada 12 Mei untuk menarik semula sebahagian daripada tarif berganda yang dikenakan secara balas-membalas sejak Trump mula memegang jawatan Presiden pada Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN