Usah pertikai status pemain warisan 

Usah pertikai status pemain warisan 

Pemain Harimau Malaya berlatih di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam sebagai persiapan menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa ini. - UTUSAN/ISKANDARISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya mempamerkan kesungguhan untuk layak ke Piala Asia 2027 apabila membawa masuk tujuh pemain warisan menyarung jersi skuad kebangsaan.

Dua pemain warisan telah bersama dengan skuad kebangsaan sejak Mac lalu adalah Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang masing-masing dipertanggungjawabkan untuk memperkukuhkan bahagian tengah dan pertahanan pasukan.

Terbaharu, beberapa pemain warisan iaitu Facundo Garces, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan dua penyerang; Joao Figueiredo serta Rodrigo Holgado telah menyertai pasukan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam 10 Jun ini.

Kehadiran kesemua pemain itu pastinya menerima pelbagai reaksi dalam kalangan apabila rata-rata mengharapkan pembaharuan malah ada juga yang menimbulkan persoalan mengenai status mereka.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata adalah tidak wajar untuk mana-mana penyokong mempersoalkan status terhadap kesemua pemain itu.

Jelasnya, pengurusan tertinggi Harimau Malaya tidak perlu tampil menjelaskan mengenai status setiap pemain tersebut memandangkan ia tiada keperluan untuk berbuat sedemikian.

“Terpulang kepada pengurusan Harimau Malaysia tetapi bagi saya tidak perlu untuk menjawab setiap persoalan daripada penyokong sebab untuk apa beritahu kepada penyokong?

“Apa yang pengurusan kena lakukan adalah buktikan setiap pemain yang dipilih itu boleh bermain dengan cemerlang dan tidak perlu layan setiap persoalan daripada penyokong kerana jumlah mereka ini terlalu ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Harimau Malaya kini dibimbing oleh Peter Cklamovski melakar kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, 25 Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN