Pulau Pinang mohon bantuan Nadma laksana pembenihan awan - Utusan Malaysia

Pulau Pinang mohon bantuan Nadma laksana pembenihan awan

SITUASI terkini paras air di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang yang susut mendadak ekoran cuaca panas yang sedang melanda negara. - Pix: SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk mendapatkan syarikat atau agensi yang berkelayakan bagi menjalankan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan empangan di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, kerajaan negeri telah menulis surat kepada Nadma bagi meminta bantuan untuk operasi pembenihan awan itu dijalankan segera.

Ujar beliau, perubahan iklim menyebabkan taburan hujan yang rendah direkodkan di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang sekali gus menyebabkan kapasiti efektif empangan menyusut dengan ketara.

Ketika ini, tambahnya, kapasiti efektif Empangan Air Itam pada tahap 49.5 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pada kadar 50.7 peratus.

”Kapasiti efektif kedua-dua empangan ini diunjurkan akan terus susut kepada tahap kritikal jika musim kemarau semasa berlanjutan hingga Ogos depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM400,000 bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air kedua-dua empangan itu dan merujuk Jabatan Meteorologi mengenai status terkini syarikat yang layak dan boleh menjalankan operasi pembenihan awan.

Bagaimanapun, jelasnya, tiada syarikat yang boleh memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain meminta bantuan Nadma untuk campur tangan dan memudahkan pelaksanaan operasi pembenihan awan secepat mungkin.

”Kami berharap Nadma akan mengutamakan dan memenuhi permintaan Pulau Pinang kerana operasi pembenihan awan diperlukan secepat mungkin untuk mencetuskan hujan yang akan mengisi semula Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

”Pulau Pinang mesti mengelak potensi krisis bekalan air yang boleh menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada 1.74 juta orang dan mengganggu semua aktiviti sosio ekonomi yang telah menyumbang RM99 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2021,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya