Projek rintis kurangkan kesesakan hospital positif - Dr. Zaliha

Projek rintis kurangkan kesesakan hospital positif – Dr. Zaliha

DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan projek rintis bagi mengurangkan kesesakan pesa­kit yang dimulakan di Ja­batan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menunjukkan kesan po­sitif apabila kadar kedatangan pesakit menurun 54 peratus setakat 9 April lalu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu dilaksanakan dengan memindahkan operasi zon hijau (bukan kecemasan) Jabatan Kecemasan HTAR ke Klinik Kesihatan Bandar Botanik (KKBB) di daerah Klang di luar waktu operasi bermula 25 Mac lalu.

Melalui pemindahan pe­sakit itu, kata beliau, KKBB melanjutkan waktu operasi sehingga 9.30 malam setiap hari.

“Penurunan ini berlaku lebih ketara pada hari Sabtu dan Ahad dan selari dengan peningkatan kedatangan pesakit ke KKBB selepas intervensi pelanjutan tempoh operasi.

“Untuk itu, KKM memu­tuskan memperluas skop projek rintis intervensi pemanjangan tempoh operasi ke klinik-klinik kesihatan lain dengan lima klinik kesihatan dipilih melibatkan daerah Gombak, Hulu Langat, Ipoh, Johor Bharu dan Kuala Lumpur,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Zaliha berkata, status terkini pelaksanaan pro­jek rintis bagi mengurang­kan kesesakan pesakit di hospital kerajaan itu di­bentangkan dalam Me­syuarat Majlis Tindakan Malaysia Madani (MTMM) Bilangan 1/2023 yang di­pengerusikan Perdana Men­teri, semalam.

Projek inisiatif Bita­ra Madani yang dipacu Pa­sukan Petugas Khas Re­formasi Sektor Awam (STAR) itu adalah bagi menyelesaikan segera ma­­salah dan kesulitan dihadapi rakyat.

Menurut beliau, di samping pelanjutan waktu operasi di klinik kesihatan, tujuh lagi tindakan penyelesaian jangka pendek dan sederhana bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan sedang dilaksanakan.

Antaranya ialah pelaksanaan rintis Skim Perubatan Madani dengan semakan semula akta, pekeliling dan garis panduan berkaitan.

Selain itu ialah pelaksanaan pengurusan LEAN, perluasan perkhidmatan penjagaan kesihatan virtual dan strategi komunikasi melalui behavioral insight sedang berjalan dengan kerjasama kementerian dan agensi berkenaan.

“KKM amat menggalakkan pesakit yang tidak mengalami sakit kritikal untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

“Pendekatan ini dapat membantu doktor dan anggota kesihatan dalam memberikan rawatan segera kepada pesakit kritikal di jabatan kecemasan hospital kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN